fbpx
Now Reading
KPDN Beri Notis Kepada Kedai Makan Di Langkawi Caj Ayam Goreng Kunyit RM20

KPDN Beri Notis Kepada Kedai Makan Di Langkawi Caj Ayam Goreng Kunyit RM20

Pemilik kedai makan berkenaan bagaimanapun mempersoalkan tindakan wanita itu yang menularkan perkara itu di media sosial.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Semalam (15 Januari), kecoh di media mengenai luahan seorang wanita di kumpulan Facebook Langkawi Sana Sini tentang harga makanan di sebuah kedai makan di Langkawi.

Menurut pengguna yang dikenali sebagai Hada Jais, dia meluahkan rasa kecewa apabila hidangan nasi putih, ayam goreng kunyit dan air kosong yang dipesan olehnya di salah sebuah kedai makan di Pantai Cenang dicaj dengan harga RM24.

Hantaran itu nyata menarik perhatian warganet kerana kebanyakan mereka beranggapan harga tersebut tidak berbaloi dengan apa yang dipesan lebih-lebih lagi hidangan sepinggan ayam goreng kunyit yang dicaj RM20.

Malah, pelanggan itu turut mendakwa telah membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi tindakan selanjutnya.

Baca Artikel Berkaitan: Pelanggan Terkejut Harga Ayam Goreng Kunyit Di Langkawi Cecah RM20 Sepinggan

Peniaga Perlu Sediakan Maklumat Dalam Tempoh Dua Hari Bekerja

Terbaharu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengeluarkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) kepada peniaga yang didakwa menjual ayam goreng kunyit dengan harga RM20 sepinggan.

Menurut Pengarah KPDN Kedah Affendi Rajini Kanth, notis tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 semalam (15 Januari) dan peniaga perlu mengemukakan maklumat penyediaan hidangan makanan dalam masa tempoh dua hari bekerja.

“KPDN mengesan hantaran yang tular di media sosial berkenaan perkara itu yang membabitkan kedai makan di Jalan Pantai Chenang, Langkawi.

“Siasatan sudah dijalankan di premis yang diadu, (pegawai penguatkuasaan) telah berjumpa dengan pemilik premis…pemeriksaan menyeluruh di dalam premis mendapati buku menu disediakan kepada pelanggannya.

“Memang tercatit harga RM20 untuk ayam goreng kunyit…jadi dalam kes ini ada dipaparkan harga, tapi kita bagi NPMB dulu tengok pengesahan dia, peniaga perlu menunjukkan nilai atau kos dengan harga makanan itu,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.

Pengguna Perlu Semak Harga Sebelum Buat Pesanan

Tambah beliau, pengguna perlu sentiasa menyemak harga dan diberikan hak untuk mendapatkan maklumat berhubung sesuatu barang termasuk hidangan makanan sebelum membuat pesanan mengikut Akta Pelindungan Pengguna 1999.

Peniaga Persoal Tindakan Individu Tularkan Harga Makanan

Dalam pada itu, pemilik kedai makan tersebut mempersoal tindakan individu yang menularkan perkara itu di media sosial.

Menurut pemiliknya yang dikenali sebagai Zulfan Bustami, dia mendakwa pekerja restorannya sudah menunjukkan buku menu yang jelas tertera harga ayam goreng kunyit adalah RM20.

“Dia sendiri lihat harga (makanan) dalam buku menu ketika buat pesanan, masa bayar di kaunter tak cakap apa pun sebelum berlalu pergi, kemudian tularkan di media sosial yang mengundang persepsi negatif, apa motif?

“Saya tiada di restoran ketika kejadian, cuma tahu perkara itu selepas dimaklumkan pekerja mengenai gambar makanan dan resit berjumlah RM24 tular di media sosial,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.

Baca Artikel Berkaitan: Pelanggan Terkejut Harga Ayam Goreng Kunyit Di Langkawi Cecah RM20 Sepinggan

Peniaga Syak Hantaran Dibuat Oleh Orang Kedua

Jelas Zulfan lagi, dia tidak mengesyaki tindakan tersebut dilakukan oleh pelanggannya sebaliknya ia ditularkan oleh orang kedua sama ada ahli keluarga atau rakan pelanggannya itu.

“Semakan mendapati pelanggan terbabit datang ke restoran saya pada Sabtu (13 Januari) lalu bersamaan dengan tarikh resit bayaran dan gambar makanan, manakala gambar kedai yang ditularkan itu pula diambil pada keesokannya (Ahad).

“Pelanggan terbabit adalah orang tempatan dan sepatutnya dia sedia maklum harga makanan di sekitar Pantai Chenang tinggi sedikit berbanding kawasan lain, ini disebabkan kadar sewa kedai juga tinggi di kawasan ini,” jelasnya.

Zulfan turut berpendapat saiz hidangan ayam goreng kunyit itu sesuai dimakan oleh dua orang kerana menggunakan 160 gram isi ayam, sayur, lobak, salad, kacang panjang dan bawang Holland.

“Saya berusaha menghubungi pelanggan terbabit menerusi ruangan sembang Messenger di Facebook untuk berbincang, pada masa sama sedia berjumpa dan memohon maaf atas kejadian itu, tapi dia mengelak.

“Kedai saya juga sudah dikunjungi penguat kuasa KPDN untuk melakukan pemeriksaan dan menyerahkan notis kira-kira 12 tengah hari semalam (15 Januari),” katanya lagi.

Baca Artikel Berkaitan: Pelanggan Terkejut Harga Ayam Goreng Kunyit Di Langkawi Cecah RM20 Sepinggan

Baca Artikel Berkaitan: Didakwa Kenakan Caj Yang Mahal, KPDN Serbu Kedai Makan Tular Di Pulau Pangkor

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.