fbpx
Now Reading
Teman Lelaki Didakwa Bunuh Bella, Cemburu & Sakit Hati Dipercayai Punca Pembunuhan

Teman Lelaki Didakwa Bunuh Bella, Cemburu & Sakit Hati Dipercayai Punca Pembunuhan

Mohammad Haikal yang juga teman lelaki kepada arwah Bella bagaimanapun hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Semalam (23 Januari) misteri kehilangan Mira Sharmilah Samsusah, 32, atau lebih dikenali sebagai Bella selepas lebih sebulan akhirnya terjawab apabila pihak polis mengesahkan rangka manusia yang dijumpai dalam sebuah rumah terbiar di Tongkang Pechah, Batu Pahat adalah milik ibu tunggal itu.

Ianya selepas keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas sampel patalogi rangka tersebut mendapati ianya sepadan dengan DNA kakak serta ibunya.

Pihak polis kemudiannya memaklumkan suspek kes berkenaan akan didakwa di mahkamah pada hari ini, 24 Januari.

Baca artikel berkaitan: Polis Sahkan Rangka Yang Dijumpai Adalah Milik Bella

Tertuduh hanya angguk faham, tiada pengakuan direkodkan

Terbaharu sebentar tadi, suspek utama iaitu Mohammad Haikal Mahfuz telah pun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat atas pertuduhan wanita berkenaan.

Mohammad Haikal yang juga teman lelaki kepada arwah Bella bagaimanapun hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Norasidah A. Rahman.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes bunuh terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Didakwa bunuh Bella pada malam 14 Disember

Mengikut kertas pertuduhan, Mohammad Haikal yang juga seorang bekas posmen didakwa membunuh Bella antara Jalan Kelapa Barli, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar, di Kampung Parit Besar dan sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Tongkang Pechah.

Waktu kejadian pula di antara jam 11 malam, 14 Disember hingga 5.30 pagi, 15 Disember 2023.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak melebihi 40 tahun dan sekiranya tidak dikenakan hukuman mati boleh dikenakan 12 sebatan.

Menurut Harian Metro, tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh. Mahkamah kemudian menetapkan 19 Februari depan untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen dan laporan perubatan.

Sakit hati & cemburu punca pembunuhan

Dalam pada itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, motif pembunuhan Bella adalah disebabkan cemburu dan sakit hati.

Jelas beliau, motif berkenaan dikenal pasti selepas pihak polis melakukan siasatan menyeluruh dan ianya memberi bayangan bahawa suspek cemburu dan sakit hati terhadap mangsa.

“Motif pembunuhan Bella ini adalah kerana kes cemburu dan sakit hati.

“Kes bunuh ini mesti mempunyai motif. Daripada motif itulah kita akan memulakan dan dapat bayangan siasatan kita. Jadi inilah motif yang kita dapat tahu menerusi siasatan dibuat,” katanya sewaktu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Sebagai rekod, Bella dilaporkan hilang pada 14 Disember lalu apabila ahli keluarga gagal menghubunginya. Dua laporan polis kemudiannya dilakukan pada 16 dan 18 Disember 2023.

Menurut keluarga, Bella telah keluar dari kediamannya di Taman Soga, Batu Pahat, Johor pada jam 11.50 malam bersama teman lelakinya itu untuk ke dobi.

Lebih menimbulkan kehairanan keluarga apabila pakaian yang hendak dibasuh berserta dompet yang mengandungi pengenalan diri, dan kunci rumah ada di kediaman Bella.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.