Goodyear Umum Bakal Tutup Operasi Di Malaysia Tahun Ini
Penutupan ini adalah selari dengan program transformasi ‘Goodyear Forward’ yang disasarkan untuk mengoptimakan saiz dan portfolio syarikat itu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Syarikat tayar terkemuka, Goodyear Tire & Rubber dilaporkan bakal menutup sepenuhnya operasi di Malaysia menjelang akhir tahun 2024 ini.
Presiden Goodyear Asia Pasifik, Nathaniel Madarang menerusi satu kenyataan berkata, penamatan operasi dan penutupan kilang yang terletak di Seksyen 15, Shah Alam itu akan bermula pada 30 Jun ini.
Program transformasi ‘Goodyear Forward’
Menurut Madarang, penutupan ini adalah selari dengan program transformasi ‘Goodyear Forward’ yang disasarkan untuk mengoptimakan saiz dan portfolio syarikat itu selain akan memberikan margin yang lebih besar serta mewujudkan nilai kepada pemegang saham.
“Program ini merangkumi beberapa langkah spesifik bagi memberikan pengurangan kos tahunan sebanyak USD1 bilion (RM4.73 bilion) menjelang 2025, bagi memastikan kita kekal kompetitif dan diletakkan sebagai peneraju industri,” katanya dalam kenyataan tersebut.
550 pekerja tempatan bakal terjejas
Menurutnya lagi, penutupan kilang dan operasi mereka di Malaysia akan menjejaskan kira-kira 550 pekerja.
Bagaimanapun, Madarang berkata, syarikat terbabit akan terus komited melayan pekerja secara terhormat dan telus dalam proses penutupan ini.
Jelasnya, keputusan yang diambil ini bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi perlu dilakukan untuk jangka masa panjang perniagaan dan para pelanggannya.
Goodyear mula perniagaan di Malaysia sejak 1929
Sekadar info, memetik portal paultan, Goodyear telah memulakan perniagaanya di Malaysia sejak 1929, manakala kilangnya di Seksyen 15 tersebut merupakan antara kilang terawal yang dibina di Shah Alam. Ia dirasmikan pada 18 Mei 1974 oleh Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, Tun Haji Abdul Razak.
Kilang tersebut juga membekalkan tayar untuk kereta pertama Malaysia iaitu Proton Saga pada tahun 1985 dan menjadi kilang pertama Goodyear yang menerima pensijilan ISO 9002 pada 1992.