fbpx
Now Reading
KK Supermart Jementah Diarah Tutup Serta-Merta, Tak Asing Minuman Alkohol Dengan Minuman Biasa

KK Supermart Jementah Diarah Tutup Serta-Merta, Tak Asing Minuman Alkohol Dengan Minuman Biasa

Ketika pemeriksaan MPS mendapati terdapat minuman keras yang telah disorokkan dalam premis tanpa lesen yang sah daripada pihaknya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak beberapa hari lalu, kecoh mengenai isu sebuah kedai serbaneka iaitu KK Super Mart yang bertindak menjual stoking tertera kalimah Allah SWT di sebuah cawangan Bandar Sunway, Selangor.

Sejak itu, kedai ini telah menjadi perhatian orang ramai kerana isu itu telah menyentuh sensitiviti mereka yang beragama Islam.

Baca artikel berkaitan: Lesen Perniagaan Syarikat Pembekal Stoking Kalimah Allah Dibatalkan & Operasi Ditutup

MPS arah kedai KK Supermart cawangan Jementah tutup serta-merta

Terbaharu, pihak Majlis Perbandaran Segamat (MPS) telah mengarahkan sebuah kedai serbaneka milik syarikat KK Supermart & Superstore Sdn Bhd cawangan Jementah, Segamat ditutup serta merta.

Perkara itu disebabkan kedai terbabit dikesan tidak mengasingkan minuman keras dan minuman biasa di premis tersebut pada 20 Mac.

Minuman keras disorokkan tanpa lesen yang sah dari MPS

Menurut MPS menerusi satu kenyataan di Facebook, operasi bersepadu pemeriksaan terhadap premis berkenaan telah dilakukan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Agama Islam Segamat dan Kementeria Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Pemeriksaan lanjut terhadap premis mendapati terdapat minuman keras yang telah disorokkan di dalam premis tanpa lesen yang sah daripada MPS. Pihak MPS telah menyita sebanyak 196 botol minuman keras selaras di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil 50 (1), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDS) 2017.

“Premis tersebut telah diberikan arahan untuk menutup operasi serta merta oleh Yang dipertua selaras dengan peruntukan Undang-Undang Kecil 49 (2), Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDS) 2017 kerana semasa operasi dijalankan, pihak MPS mendapati bahawa tiada pengasingan dibuat bagi minuman keras dan minuman biasa,” katanya.

Turut buat pemeriksaan sama ada premis terbabit ada menjual atau simpan stoking tertera kalimah Allah

Dalam pada itu, MPS memaklumkan pihaknya akan terus komited dalam melakukan operasi serta pemantauan secara berkala untuk mengelakkan perkara sama berulang kembali.

Sebelum ini, MPS telah membuat serbuan di kedai berkenaan untuk memeriksa sama ada ia ada menjual atau menyimpan stoking yang tertera kalimah Allah. Namun tiada sebarang penjualan mahupun penyimpanan stoking ditemui di premis terbabit.

MPS turut memberi amaran serta peringatan kepada mana-mana pihak atau individu agar tidak mempersenda mahupun mempermainkan kalimah Allah atau apa juga yang boleh mencemarkan kemuliaan agama Islam.

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya mendapati perkara seperti ini berlaku lagi.”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.