fbpx
Now Reading
Tertuduh Mohon Hukuman Gantung Sampai Mati Lepas Disabit Kesalahan Edar Dadah

Tertuduh Mohon Hukuman Gantung Sampai Mati Lepas Disabit Kesalahan Edar Dadah

Tertuduh telah didakwa atas kesalahan mengedar dadah meth seberat 2.7 kilogram sekitar 5 petang, 2 Oktober 2018.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Seorang individu telah disabit bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine sebanyak 2.7 kilogram enam tahun lalu.

Tertuduh, Ng Chan Keong, telah ditangkap pada 2 Oktober 2018 dan kini dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup sejak tarikh itu serta 12 sebatan.

Semalam (26 Mac), apabila Mahkamah Tinggi Ayer Keroh di Melaka, memberi peluang tertuduh menyatakan hasrat terakhirnya, dia meminta agar dikenakan hukuman gantung sehingga mati.

“Saya mahu hukuman gantung sampai mati, itu sahaja.”

Tertuduh, Ng Chan Keong

Namun begitu, Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis menegaskan bahawa hukuman merupakan hak mahkamah yang akan ditentukan oleh pihaknya.

Anselm berkata dalam penghakimannya bahawa mahkamah mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah setelah kesemua keterangan dan hujah kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan dipertimbangkan.

Tambahnya lagi, mahkamah berpuas hati pendakwaan membuktikan kes terhadap tertuduh melampaui keraguan munasabah.

Tertuduh Tak Tahu Ada Dadah Dalam Kereta

Menurut Anselm, tertuduh mendakwa dia telah memandu sebuah kereta Mercedes tanpa menyedari kewujudan dadah di dalam but kenderaan itu. Dia kemudiannya ditahan polis ketika dalam perjalanan dari Genting Highlands ke Johor Bahru pada 2 Oktober 2018.

“Tertuduh menyatakan dia pergi ke Genting Highlands bersama bos (majikan) dikenali sebagai Tan yang juga saksi pembelaan kedua sehari sebelumnya dan bermalam di sebuah hotel di situ.”

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis

Katanya lagi, tertuduh juga mendakwa disuruh Tan agar memandu kereta itu dan menyerahkan wang tunai sebanyak RM180,000 dan sekitar SG$9,300 (RM32,660.895) kepada teman wanitanya di Johor Bahru.

Malah, tertuduh menyatakan bahawa dia tidak memeriksa kenderaan terbabit terlebih dahulu dan hanya memandunya sehingga ditahan polis peronda, tambah Anselm.

Kereta Yang Sama Pernah Dipandu Beberapa Individu Berbeza

Di samping itu, Hakim memaklumkan kenyataan oleh Tan bahawa dia pernah menggunakan kereta yang disimpan di Johor Bahru itu sebanyak beberapa kali.

Pada hari kejadian, seorang rakan dikenali sebagai ‘Ah Beng’ juga dikatakan telah meminjam kereta itu dan dipulangkan semula pada tengah hari, lapor Berita Harian.

Sehubungan itu, mahkamah berpendapat mustahil bagi seseorang membiarkan dadah yang banyak di dalam but kereta dipandunya.

Ditahan Dalam Pemeriksaan Mengejut

Hakim memaklumkan bahawa tertuduh ditahan dalam satu pemeriksaan mengejut oleh polis peronda kerana kenderaan dipandunya dilihat mencurigakan, dan bukannya kerana risikan.

Hakim berkata tertuduh yang didakwa cuba memecut kereta, tidak mahu membuka but dan melakukan cubaan merasuah polis, menunjukkan seolah-olah dia mengetahui tentang kesalahan membawa dadah yang dilakukan.

Dalam masa sama, mahkamah berpendapat bahawa Tan sebagai saksi yang tidak boleh dipercayai.

Boleh Dihukum Gantung Sampai Mati

Terdahulu, tertuduh didakwa atas kesalahan mengedar dadah meth seberat 2.7 kilogram sekitar 5 petang, 2 Oktober 2018. Kes dilaporkan berlaku di tepi lorong kecemasan KM 215 Lebuh Raya Utara Selatan arah Kuala Lumpur-Johor Bahru, berhampiran Alor Gajah, Melaka.

Chan Keong didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, iaitu boleh dihukum gantung sehingga mati jika disabit kesalahan.

Sejak perbicaraan kes bermula pada 10 September 2020, terdapat 13 orang saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.