fbpx
Now Reading
7 Pekerja Bantuan Makanan Di Gaza, World Central Kitchen Terbunuh Dalam Serangan Udara Israel

7 Pekerja Bantuan Makanan Di Gaza, World Central Kitchen Terbunuh Dalam Serangan Udara Israel

Pengasas WCK iaitu chef Jose Andreas berkata, serangan itu menyebabkan mereka terpaksa menghentikan sementara operasi di rantau berkenaan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Tujuh pekerja pertubuhan bantuan makanan, World Central Kitchen (WCK) terbunuh dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza pada Isnin malam (1 April).

Kesemua mangsa yang terbunuh merupakan warganegara Australia, Britain, Poland, dua rakyat Amerika Syarikat-Kanada dan Palestin.

Foto: X/WCKitchen

Ketua Eksekutif WCK, Erin Gore berkata, pihaknya telah menyelaraskan pergerakan dengan pertahanan Israel bagi memastikan keselamatan ahlinya.

Dibunuh selepas hantar 100 tan bantuan makanan ke Gaza

Namun, Gore berkata konvoi itu tetap diserang ketika sedang meninggalkan gudang Deir al-Balah selepas menurunkan lebih 100 tan bantuan makanan kemanusiaan yang dibawa ke Gaza melalui laut.

“Ini bukan sahaja serangan terhadap WCK, ini adalah serangan ke atas organisasi kemanusiaan yang muncul dalam situasi paling mengerikan, yang mana makanan digunakan sebagai senjata perang. Ini tidak boleh dimaafkan,” katanya.

Terpaksa hentikan operasi bantuan makanan di Gaza buat sementara waktu

WCK yang diasaskan oleh chef selebriti Jose Andres berkata, serangan itu menyebabkan mereka terpaksa menghentikan sementara operasi di rantau berkenaan.

Jelas Andres lagi, dia berasa sedih dan berduka atas pemergian kesemua mangsa yang meninggal dunia dalam tragedi tersebut.

“Kerajaan Israel perlu menghentikan pembunuhan tanpa mengira sesiapa ini.

“Ia perlu berhenti menyekat bantuan kemanusiaan, berhenti membunuh orang awam dan pekerja bantuan, dan berhenti menggunakan makanan sebagai senjata.

“Tiada lagi nyawa yang tidak bersalah terkorban. Keamanan bermula dengan kemanusiaan kita bersama. Ia perlu bermula sekarang,” ujar Andres.

Netanyahu sahkan serangan, dakwa pasukannya tak sengaja

Sementara itu, Memetik Al-Jazeera, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengesahkan bahawa pasukannya telah membunuh tujuh orang dari badan amal WCK.

Netanyahu menggambarkan serangan terhadap pekerja bantuan berkenaan sebagai tidak disengajakan selain berjanji akan menjalankan siasatan menyeluruh.

Tular video terakhir WCK sediakan makanan untuk penduduk Gaza

Dalam pada itu, turut tular di media sosial video terakhir yang memaparkan para pekerja WCK sedang menyediakan makanan untuk penduduk di Gaza.

Penularan video tersebut mengundang rasa sebak orang ramai terhadap niat pasukan terbabit ke Gaza yang ingin memberi bantuan makanan namun akhirnya terbunuh kerana serangan udara Israel.

Mereka turut mengecam sekeras-kerasnya serangan itu dan meminta dunia terus membuka mata melihat apa yang telah berlaku ini.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.