fbpx
Now Reading
Peguam Enggan Dedah Bagaimana Boleh Mewakili Lelaki Israel Yang Didakwa Di Mahkamah

Peguam Enggan Dedah Bagaimana Boleh Mewakili Lelaki Israel Yang Didakwa Di Mahkamah

Laluan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini dikawal ketat anggota polis di mana pihak berkepentingan sahaja dibenarkan untuk menyertai prosiding.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Hari ini (12 April), lelaki warga Israel, Avitan Shalom dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan memperdagangkan enam senjata api dan memiliki 158 butir peluru.

Dia bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Tasnim Abu Bakar.

Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohamad Mustafa P Kunyalam manakala Avitan diwakili peguam, Navinjit Singh dan Jeffry Ooi.

Peguam enggan jawab dan dedah bagaimana boleh mewakili tertuduh

Terbaharu, Navinjit Singh yang ditemui di luar mahkamah enggan menjawab persoalan dan mendedahkan bagaimana dia boleh mewakili tertuduh.

Dia bertindak sedemikian selepas ditanya oleh pemberita sama ada terdapat pihak yang menghubunginya atau firma guamannya bagi mewakili Avitan yang didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) dan 8(1) Akta Senjata 1960.

Dalam pada itu, laluan ke mahkamah dikawal ketat anggota polis di mana pihak berkepentingan sahaja dibenarkan untuk menyertai prosiding.

Cubaan dua lelaki tiada kaitan dengan kes untuk sertai prosiding gagal

Dalam pada itu, cubaan dua lelaki yang difahamkan tiada kaitan dengan kes terbabit untuk menyertai prosiding juga gagal selain salah seorang daripada mereka diperiksa polis kerana mencurigakan.

Lelaki yang ditahan polis itu kelihatan mundar-mandir di kaki lima ketika pemberita agensi tempatan dan antarabangsa sedang menunggu kebenaran untuk dibenarkan masuk dalam kamar mahkamah.

Dia kemudian ditegur oleh kakitangan bahagian keselamatan mahkamah dan diminta beredar daripada lokasi terbabit.

Anggota polis bertindak lakukan pemeriksaan badan

Bagaimanapun, dia masih kelihatan berada di kawasan itu sebelum beberapa anggota polis berpakaian preman dilihat melakukan pemeriksaan badan terhadapnya.

Memetik NST, dia sebelum itu mendakwa sebagai seorang pelajar jurusan guaman.

Lelaki kedua pula mendakwa dirinya seorang peguam yang mewakili keluarga kepada individu yang ingin dibunuh oleh Shalom.

Pihak pendakwaan kemudiannya mengesahkan ada menerima panggilan daripada lelaki terbabit, namun tiada kesahihan mengenai dakwaannya (mewakili keluarga individu ingin dibunuh).

Beliau bagaimanapun tidak dibenarkan memasuki mahkamah kerana hanya pemberita yang memiliki pas media sahaja dibenarkan mengikuti prosiding selain polis, timbalan pendakwa raya dan peguam.

Shalom ditahan pada 27 Mac lalu bersama enam pucuk pistol

Terdahulu, Shalom yang memasuki Malaysia dengan menggunakan pasport Perancis memiliki enam pucuk pistol telah ditahan polis pada 27 Mac lalu di sebuah hotel di Jalan Ampang.

Shalom dikatakan mempunyai kaitan dengan kumpulan jenayah bersaudara Musli Brothers.

Difahamkan, dia datang ke Malaysia untuk membunuh ketua keluarga kumpulan penjenayah seteru iaitu Eran Haya.

Baca Artikel Berkaitan: Warga Israel & Pasangan Suami Isteri Bakal Berdepan Hukuman Mati Jika Sabit Kesalahan – Ketua Polis Negara

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.