fbpx
Now Reading
Enggan Pergi Kelas Mengaji, Remaja Reka Cerita Dirinya Diculik

Enggan Pergi Kelas Mengaji, Remaja Reka Cerita Dirinya Diculik

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, hasil soal siasat dan rakaman percakapan mangsa, saksi dan siasatan di tempat kejadian mendapati wujudnya keraguan dalam dakwaan penculikan tersebut.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Jenayah culik terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan wanita seringkali menjadi perhatian dan bualan masyarakat.

Malah sejak daripada dahulu, kes jenayah ini seringkali dikaitkan dengan van putih di mana kebanyakan penculik menggunakan kenderaan itu bagi menjalankan perbuatan yang salah di sisi undang-undang tersebut.

Semalam (2 Mei), sekali lagi tular kisah penculikan menggunakan van putih di Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah yang melibatkan remaja perempuan berusia 13 tahun.

Menerusi hantaran yang tular di Facebook itu, mangsa mendakwa mulutnya ditekup dan dibawa lari menggunakan van putih.

Namun, dia dikatakan sempat melarikan diri selepas penculik berhenti untuk ke tandas di Hotel Sutera Harbour dan diselamatkan oleh seorang penduduk tempatan.

Foto: Facebook

Hanya Cerita Rekaan, Enggan Pergi Kelas Mengaji

Walau bagaimanapun, menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Kasim Muda, hasil siasatan mendapati remaja berkenaan sengaja mengada-adakan cerita dirinya diculik kerana enggan menghadiri kelas mengaji.

Tambah beliau, hasil soal siasat dan rakaman percakapan mangsa, saksi dan siasatan di tempat kejadian mendapati wujudnya keraguan dalam dakwaan penculikan tersebut.

“Mangsa juga takut dimarahi oleh pengadu (ibunya) kerana enggan hadir (ke kelas) mengaji,” kata beliau yang dipetik daripada Harian Metro.

Ujar Kasim lagi, siasatan lanjut turut mendapati mangsa berjalan-jalan di Plaza Wawasan sehingga dikesan oleh pengawal keselamatan Wisma Sedco kerana berada lama dalam bangunan berkenaan.

Remaja itu telah diserah kepada ibu bapanya dan dinasihatkan agar tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Mohon Golongan Remaja Tidak Buat Cerita Berkaitan Kes Jenayah

Pada masa yang sama, Kasim turut mengingatkan kepada golongan remaja agar tidak mereka cerita terutamanya berkaitan kes jenayah kerana ia boleh menimbulkan panik dan juga merupakan satu kesalahan kerana membuat laporan palsu.

“Perbuatan itu juga menyusahkan pihak polis selain membuang masa dan tenaga melakukan siasatan,” ujarnya.

Terdahulu, kisah penculikan remaja tersebut tular di Facebook hingga menimbulkan kerisauan kebanyakan warganet.

Menerusi hantaran tersebut, ramai yang menyatakan kerisauan dan mengingatkan agar ibu bapa lebih berhati-hati dalam menjaga anak-anak agar kejadian yang sama tidak berulang lagi.

Baca Artikel Berkaitan: Buat Laporan Palsu Sebab Takut Dimarahi Bapa, Remaja 13 Tahun Dakwa Kononnya Diculik

Baca Artikel Berkaitan: Tular Dakwaan Berlaku Cubaan Culik Di Sekolah Rendah, Murid Diumpan Dengan Duit Raya

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.