Now Reading
Mesut Ozil Dikeluarkan Daripada PES 2020 di China Kerana Pertahan Kaum Muslim Uighur

Mesut Ozil Dikeluarkan Daripada PES 2020 di China Kerana Pertahan Kaum Muslim Uighur

Perancang Arsenal, Mesut Ozil telah dikeluarkan dari permainan video Pro Evolution Soccer 2020 (PES 2020) di China selepas kenyataan pedas beliau mempertahankan kaum muslim Uighur.

Mesut Ozil sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan yang mengkritik kerajaan China yang tidak berperikemanusian dengan menahan lebih satu juta kaum muslim Uighur di kem tahanan.

Beberapa hari selepas itu, China menafikan dengan keras dakwaan Ozil dan mengatakan bahawa pemain itu telah termakan dengan propaganda media.

Serangan pertama China ke atas Ozil adalah dengan membatalkan siaran langsung perlawanan di antara Arsenal menentang Manchester City dan diikuti dengan beberapa serangan lain.

Terbaharu, pihak NetEase, yang bertanggungjawab menerbitkan PES di China telah mengesahkan bahawa mereka akan mengeluarkan pemain kebangsaan Jerman itu di dalam permainan video PES 2020.

NetEase menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ozil ‘adalah melampau dan menyakiti perasaan peminatnya di China’ dan dalam masa yang sama menuduh Ozil tiada perasaan cintakan kedamaian.

Komen Ozil sebelum ini telah meninggalkan banyak perdebatan di media massa dengan Arsenal mengambil langkah berdiam diri kerana dilihat tidak mahu terkesan dengan apa yang dilakukan oleh beliau.

Bagi bekas pemain Barcelona dan Manchester City, Yaya Toure beranggapan Ozil tidak sepatutnya bercakap soal hak asasi manusia di China.

China sebelum ini terdedah dengan kritikan selepas satu dokumen rahsia didedahkan kepada umum bahawa wujud satu kem tahanan paksa yang menahan hampir sejuta kaum muslim Uighur di wilayah Xinjiang.

Sehingga hari ini, kerajaan China menafikan tuduhan tersebut dengan menyatakan bahawa kem tersebut dibina untuk tujuan pendidikan dan latihan.

© 2021 BuzzKini. All Rights Reserved.