fbpx
Now Reading
Akibat Jual Gelang Konon Dapat Cegah Covid-19, Wanita Dikompaun RM50,000

Akibat Jual Gelang Konon Dapat Cegah Covid-19, Wanita Dikompaun RM50,000

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Gara-gara memuat naik posting mengelirukan di Facebook dengan niat mempromosikan gelang yang didakwa mampu mencegah wabak COVID-19, seorang wanita yang merupakan ejen syarikat jualan langsung telah dikenakan kompaun RM50,000.

Perkara tersebut dikongsikan Pengarah Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman dalam satu kenyataan .

Menurut beliau tindakan berkenaan diambil selepas terdapat aduan dari orang ramai berhubung penjualan gelang terbabit yang berharga RM580 tular di Facebook.

“Tindakan wanita itu yang mempromosikan produk dengan memberi penyataan yang mengelirukan adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 10(1)(h), Akta Perlindungan Pengguna 1999. Tawaran kompaun maksimum sebanyak RM50,000 kemudian ditawarkan kepada ejen jualan langsung berkenaan hari ini.

“Jika kompaun gagal dibayar dalam masa yang ditetapkan, individu itu akan dituduh di mahkamah.

“Penalti bagi kesalahan ini adalah di bawah Seksyen 25, Akta Perlindungan Pengguna 1999 iaitu bukan suatu pertubuhan perbadanan yang melakukan kesalahan, didenda tidak lebih RM 100,000 atau dipenjarakan selama tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak lebih RM250,000 atau dipenjarakan tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Tambah Iskandar KPDNHEP sentiasa serius dalam memastikan orang ramai tidak terpedaya dengan promosi atau penyataan mengelirukan dalam penjualan sesuatu produk

“Selain itu, semua pihak yang menjual dan mempromosikan produk diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan tindakan berkenaan hanya dikenakan ke atas ejen jualan berkenaan, dan bukan syarikat pengeluar gelang memandangkan syarikat berkenaan tidak pernah membuat dakwaan gelang itu boleh mencegah Covid-19

“Syarikat itu tidak pernah membuat dakwaan yang gelang itu boleh mencegah COVID-19. Hanya wanita itu saja (yang membuat dakwaan),” katanya.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.