Belum Dapat Anak, Wanita Kecewa Keluarga Suami Bandingkan Dengan Bekas Isteri Ketika Beraya
Menurut wanita terbabit dia berusaha bermacam-macam cara untuk mendapatkan cahaya mata seperti menurunkan berat sebanyak 10 kilogram, makan pil kesuburan dan sebagainya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sudah menjadi kebiasaan di bulan Syawal untuk kita semua berkunjung ke rumah sanak saudara serta rakan.
Memandangkan sudah lama tidak berjumpa, pastinya mereka akan bertanya tentang perkembangan terbaharu, namun terdapat juga segelintir yang kurang sensitif apabila bertanya mengenai perkara peribadi.
Antaranya adalah bertanya mengenai pasangan, perkahwinan, anak dan sebagainya. Malah adakalanya pertanyaan itu membuatkan seseorang tidak selesa dan terasa hati atas kata-kata yang diberikan.
Wanita sedih dibandingkan dengan bekas isteri suami gara-gara belum ada anak
Perkara sama turut berlaku kepada seorang wanita yang kecewa apabila dia dibandingkan dengan bekas isteri si suami disebabkan belum dikurniakan zuriat.
Menerusi video yang tular di X, wanita berkenaan awalnya bertanya kepada orang ramai khususnya yang sedang merancang kehamilan bagaimanakah sambutan Hari Raya pada tahun ini sebelum menceritakan kejadian yang berlaku kepadanya.
Sudah tiga tahun usaha nak dapatkan anak
Menurut wanita itu, dia merasakan lebaran kali ini adalah yang paling teruk kerana dibanding-bandingkan.
“Tiga tahun lebih aku merancang kehamilan (TTC), aku tak pernah nak terasa hati sangatlah dengan soalan-soalan ‘oh tak ada anak lagi ke, apa ke’. Tapi raya kali ni memang betul-betul menguji hati aku lah dengan soalan yang sangat memedihkan.
“Aku pergi raya rumah (saudara-mara) belah suami aku lah. Rumah yang pertama, ‘Ha yang ni anak dah berapa orang?’ lepas tu aku cakap tak ada lagi. ‘Berapa tahun dah kahwin? Bukan dah lama ke?’. Tiga tahun.
“‘Oh dah lama sangat dah tu, eh tak boleh kena juga ada anak ni walau pun sorang kena pergi berubat cepat-cepat pergi ambil air tawar (air berubat tradisional).’ Aku senyum saja,” kata wanita itu dalam ssatu video yang dikongsikan seorang pengguna X.
Tak faham kenapa perlu bandingkan dengan bekas isteri suami
Jelasnya beraya di rumah kedua, dia turut disoal dengan perkara sama selain turut membezakannya dengan bekas isteri kepada suami.
“Eh lamanya tak ada (anak). Dulu suami kahwin dengan bekas isteri sekejap saja dapat anak. Kenapa dengan awak lambat,” ujar individu berkenaan kepada wanita itu.
Wanita tersebut kemudian mengatakan dia tidak mengerti mengapa individu terbabit mahu membandingkan dirinya dengan bekas isteri kepada suami.
“Kenapa awak nak kena bandingkan aku dengan bekas isteri dia (suami). Kalau betullah anak tu satu pengukur kebahagian, kenapa mereka dah ada anak pun bercerai?
“Pergi pula rumah ketiga, tanya soalan yang sama juga, anak mana? Tidur ke nak bagi duit raya ni. Kenapa awak semua nak kena tanya soalan-soalan macam tu,” katanya sambil menangis.
Turunkan berat badan, makan pil kesuburan untuk dapatkan anak
Malah dia turut mengatakan, individu yang bertanya itu tidak pernah mengetahui apa yang telah dilaluinya untuk berusaha mendapatkan zuriat.
Wanita itu turut memaklumkan dia juga mengawal pemakanan sehingga berjaya menurunkan berat badan sebanyak 10 kilogram, mengambil ubat kesuburan serta bermacam-macam lagi demi mendapatkan cahaya mata.
Kata-kata yang dituju kepada dirinya itu secara tidak langsung telah membuatkan wanita berkenaan berasa sakit hati khususnya apabila tergamak membandingkan dia dengan bekas isteri lelaki terbabit.
“Nak tanya pasal anak tu aku tak kisah.”
Ini kerana, ada sahaja individu lain yang bertanya mengenainya namun tidak membanding-bandingkan dirinya.
Ramai doakan agar dikurniakan cahaya mata
Video perkongsian wanita berkenaan secara tidak langsung telah menarik perhatian ramai netizen yang mendoakan dirinya agar dikurniakan cahaya mata.
Tidak kurang juga ada yang menempelak sikap segelintir individu yang tidak menjaga sensitiviti orang lain dengan bertanya isu tak sepatutnya.