fbpx

Kecoh Kafankan Anak Kucing Macam Manusia, Gadis Tampil Bagi Penjelasan

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini, tular satu video mengenai tindakan seekor kucing yang sedang meratapi ‘pemergian’ anak kucing berwarna hitam itu mendapat perhatian warganet di media sosial.

Menerusi perkongsian yang dibuat oleh Aimi Syahida di laman Twitter miliknya, dia tidak menjangkakan kehadiran kucing dewasa itu ketika mahu menanam bangkai anak kucing tersebut.

Dia yang hanya mahu menunjukkan sikap keperikemanusiaan sesama haiwan mengundang kecaman apabila dikatakan cara ‘kafan’ bangkai anak kucing tersebut seakan jenazah manusia.

“Saya hanya mahu tunjukkan kasih sayang antara haiwan, namun tak sangka ada pula yang lihat dari sudut negatif,” katanya.

Selain itu, video tersebut telah mendapat jumlah tontonan lebih 74,900 tontonan dan 4,900 tanda suka di Twitternya @itsamysy.

Dia berasa sedih melihat tindakan spontan kucing dewasa itu mencium-cium si comel itu sejurus diletakkan ke dalam lubang yang sudah tersedia.

“Sebelum aku bawak si anak ke liang lahad, si ‘ibu’dah siap-siap tunggu. Pastu masa masukkan anak dalam tu, dia cium-cium anak tu…Allahu…aku pulak yang nak nangis,” tulisnya di ruangan kapsyen.

“Anak kucing itu mati selepas 4 hari dilahirkan. Saya pun korek lubang di belakang rumah untuk menanamnya…bila saya kembali semula dengan membawa bangkai anak kucing untuk ditanam, ada seekor kucing betina dah tunggu di liang lahad,” katanya lagi.

Menurut Aimi yang berusia 21 tahun itu berkata, kucing berkenaan bukanlah ibu kepada anak kucing tersebut.

“Kucing itu sebenarnya bukan ibu kepada si anak kucing yang mati tu tapi ia adalah kucing jiran yang menumpang di rumah saya. Sebulan yang lalu, ia juga melahirkan anak tapi ketiga-tiga anaknya yang kesemuanya berwarna hitam, mati.

“Mungkin dia teringat apabila tengok anak kucing yang nak ditanam ni sama macam anaknya. Tapi tak sangka pula, ada yang perhati benda lain…mereka pertikaikan pasal kafan anak kucing tu.

Namun, gadis yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan ini berasa terkilan apabila tindakannya itu disalah erti oleh sesetengah individu yang komen tanpa bertanyakan kepadanya.

“Ada yang kata tak elok kafan haiwan macam tu… Ada yang pertikai kenapa korek lubang tak berapa dalam sebab bimbang haiwan lain makan,” katanya antara komen yang diterima.

“Tapi saya nak jelaskan…itu bukan kain pun. Hanya sekeping tisu. Saya tak sampai hati nak letak macam tu saja jadi saya lapik dengan tisu. Tapi mungkin sebab nampak macam kafan, itu yang jadi perhatian,” ujarnya.

Biarpun postingannya itu mendapat beberapa komen yang negatif, dia yang tampil menjelaskan perkara tersebut gara-gara tular di media sosial.

Dia yang juga terkejut apabila perkongsiannya baru-baru ini menjadi viral kerana selama ini dia dikatakan sering memuat naik perkongsian mengenai haiwan peliharaannya di Twitter.

“Tapi tweet yang baru-baru ini kali pertama jadi viral…memang tak sangka langsung. Saya memang suka pelihara kucing sejak kecil dan hingga kini ada 4 ekor kucing termasuk 2 ekor anak kecil yang baru dilahirkan.

“Mengenai kubur pula, alhamdulilah hingga hari ni ia masih elok dan tak ada pun dikorek oleh haiwan lain. Insya-Allah ada ganjarannya jika kita berbuat baik kepada haiwan,” ujarnya lagi.

Dia meluahkan rasa syukur walaupun mendapat beberapa komen negatif, namun masih ada yang memberikan kata-kata semangat kepada dirinya.

“Apa pun saya bersyukur, ramai netizen berikan kata-kata semangat kerana mereka faham bagaimana rasanya kehilangan haiwan peliharaan,” katanya lagi.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.