fbpx
Now Reading
Malaysia Airlines Kini Larang Makanan ‘Self Heat’ Dibawa Ke Dalam Pesawat

Malaysia Airlines Kini Larang Makanan ‘Self Heat’ Dibawa Ke Dalam Pesawat

Menurut Malaysia Airlines, keselamatan dan keselesaan para penumpang serta anak kapal adalah penting buat mereka.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum pasti mengetahui sejak Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilaksanakan, rakyat Malaysia sudah mula dibenarkan untuk ke luar negara baik untuk urusan perniagaan mahupun urusan peribadi.

Dengan pembukaan lebih banyak sempadan, maka semakin ramailah rakyat Malaysia yang akan terbang keluar.

Namun sekiranya anda bakal atau merancang untuk menaiki penerbangan Malaysia Airlines ke mana-mana, anda diingatkan bahawa ada kategori makanan yang kini telah diharamkan untuk dibawa masuk ke dalam pesawat baik melalui bagasi daftar masuk mahu pun ke dalam kabin.

Menerusi satu pengumuman di laman sesawang mereka, Malaysia Airlines memaklumkan mana-mana makanan yang mempunyai ciri pemanasan kendiri (self heating meals) kini dilarang dibawa ke dalam penerbangan mereka.

Ini termasuklah makanan Sedia Dimakan (MRE) yang turut didatangi dengan pek pemanas yang berasaskan bahan kimia seperti FRH.

Makanan self heat Foto : YT DancingBacons

Larangan tersebut berkuat kuasa serta merta memandangkan produk sebegini kebiasaannya mengandungi bahan berbahaya seperti serbuk magnesium, serbuk besi, karbon pepejal mudah terbakar serta kalsium oksida (CaO) yang mengkakis.

Kesemua bahan ini secara ringkasnya boleh membebaskan gas yang mudah terbakar apabila bertindak balas dengan air.

Tambah Malaysia Airlines, keselamatan dan keselesaan para penumpang serta anak kapal adalah penting buat mereka.

Sebagai info, sebelum Malaysia Airlines, sudah ada beberapa penerbangan lain di dunia yang turut melarang produk makanan berkenaan ke dalam penerbangan mereka antaranya AirAsia, dan Air China.

Namun menurut Transportation Security Administration (TSA) ada segelintir syarikat penerbangan yang masih membenarkan makanan tersebut dibawa ke penerbangan dengan syarat ianya tidak dibawa ke dalam kabin.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.