fbpx
Now Reading
Ini 8 Hidangan Tradisi Negeri Perak Yang Mungkin Ramai Tak Tahu

Ini 8 Hidangan Tradisi Negeri Perak Yang Mungkin Ramai Tak Tahu

Salah satu makanan tradisi Perak yang tidak asing dalam kalangan masyarakat Melayu adalah rendang tok yang turut dijadikan hidangan utama sewaktu hari raya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Perak merupakan sebuah negeri yang kaya dengan pelbagai tradisi, budaya dan sejarah. Ia juga merupakan negeri kedua terbesar di Semenanjung Malaysia dan mempunyai Sungai Perak yang merentasi sepanjang negeri itu dari Bagan Datuk hingga ke Gerik.

Jika Kelantan terkenal dengan nasi kerabu, Negeri Sembilan dengan masak lemak cili api, manakala laksa asam sinonim dengan Pulau Pinang, bagaimana pula dengan Perak?

Mungkin sesetengah orang biasa mendengar rendang tok sebagai makanan tradisi di negeri diduduki Perak Man itu. Namun sebenarnya ada banyak lagi makanan tradisi yang mungkin kian dilupakan dan tidak lagi dikenali oleh golongan muda zaman sekarang.

Seorang lelaki yang merupakan anak jati negeri Perak telah berkongsi senarai makanan tradisi negeri itu menerusi TikTok (@aiedilputeraa). Dia yang menetap di Kuala Kangsar dibesarkan oleh seorang ibu yang menjual kuih tradisional. Sebab itulah dia sudah terbiasa dengan makanan dan kuih tradisional di negeri itu.

Berikut antara makanan tradisi Perak yang mungkin dalam kalangan korang yang tak pernah dengar.

#1 Rendang Tok

Rendang ini sebenarnya tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat Melayu di dalam negara, sehingga menjadi hidangan utama pada pagi Aidilfitri. Ia dikatakan berasal daripada Kampung Pisang yang terletak di Batu Gajah, Perak.

Rendang tok menggunakan daging sebagai bahan utamanya dan berbeza dengan kebanyakan rendang lain, ia dimasak dengan kedua-dua santan dan kerisik.

Sumber: ResepiCheNom

#2 Nasi Lemuni

Nasi lemuni atau juga dikenali sebagai legundi berwarna hijau gelap kerana ia dimasak dengan daun pokok lemuni. Walau bagaimanapun, daun ini jarang dijumpai di kedai-kedai dan biasanya tumbuh di kawasan kampung.

Hidangan ini terkenal di sekitar Kuala Kangsar dan Lenggong dan biasanya dimakan bersama-sama sambal udang kering atau sambal ikan bilis.

Ia juga sesuai dihidangkan kepada wanita yang berpantang setelah melahirkan anak.

Sumber: MalayMail

#3 Gulai Kemahang

Gulai yang berwarna kuning ini pernah dijadikan hidangan istimewa untuk santapan salah seorang Sultan Perak pada zaman dahulu kala ketika Baginda mencemar duli ke satu perkampungan di Lenggong. Ia juga terkenal di Pahang.

Daun kemahang sukar dicari dan pokoknya hanya tumbuh di kawasan hutan. Daunnya yang bergulung-gulung perlu dicuci dengan teliti agar tiada kotoran yang melekat padanya.

Dahulu, gulai ini selalu dihidangkan di kenduri-kendara di kawasan kampung. Selain dimakan dengan nasi putih, gulai itu juga sedap dicicah cucur kelapa atau tepek tepung.

Sumber: @TwitPerak/ X

#4 Pais Ikan Keramat

Pais merupakan sejenis lauk daripada ikan yang dicampur pelbagai rempah dan dimasak di dalam bungkusan daun pisang.

Pais ikan keramat merupakan makanan masyarakat Melayu di Lenggong yang terletak berhampiran Sungai Perak.

Ia menggunakan ikan keramat bersaiz kecil seperti ikan bilis dan boleh dimasak dengan cara dibakar atau dikukus.

Sumber: @aiedilputeraa/ TikTok

#5 Telur Dadar Ikan Loma

Hidangan yang terkenal dalam kalangan penduduk Lenggong dan Gerik ini merupakan kegemaran para nelayan dan petani kerana ia boleh disimpan sehingga berminggu lamanya.

Ia bukanlah telur dadar seperti biasa kita makan, tetapi ia dimasak menggunakan telur ikan loma itu sendiri yang dicampur dengan sedikit putih telur sebagai pengikat. Ikan loma banyak diperoleh di Sungai Perak.

Sumber: Hulu Perak News/ Facebook

#6 Laksa Kuala

Berbeza dengan laksa utara, laksa yang berasal dari Kuala Kangsar ini diperbuat menggunakan tepung gandum sepenuhnya tanpa dicampurkan tepung beras.

Kuahnya dimasak menggunakan ikan selayang, sedikit cair dan lebih masam berbanding laksa utara.

Sumber: Majlis Perbandaran Kuala Kangsar/ Facebook

#7 Ikan Pindang Daun Seniar

Merupakan salah satu makanan tradisi Perak yang kian pupus, ia masih boleh didapati di kawasan Lenggong.

Ia dihasilkan menggunakan ikan sungai yang diperap dengan ramuan dan rempah ratus, serta dibalut di dalam daun seniar.

Hidangan ini akan direbus selama 12 jam atau sehingga tiga hari agar bahan-bahan sebati dan tulang ikan menjadi lembut. Daun seniar yang membalutinya turut boleh dimakan.

Sumber: Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Pekan Lenggong

#8 Ikan Masak Belotak

Merupakan masakan yang terkenal dalam kalangan para pesawah, hidangan ini dihasilkan menggunakan ikan darat yang terdapat di sawah padi seperti keli, haruan dan puyu.

Idea hidangan ini tercetus daripada masyarakat dahulu kala agar ikan yang telah separa rosak atau medak tidak dibuang begitu sahaja.

Ia akan dicuci dahulu menggunakan daun bebuas atau kunyit untuk menghilangkan bau hanyir dan busuk ikan.

Sumber: Trendy Travel/ Facebook

Kalau korang berminat pasal Perak, baca artikel berkaitan di bawah.

Baca Artikel Berkaitan: Ini Sejarah Jajahan Dinding Di Perak Yang Ramai Tidak Tahu

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.