fbpx
Now Reading
Pensyarah Dakwa Buku Teks Sejarah Sekolah Tak Cerita Hal Sebenar Tentang Perak

Pensyarah Dakwa Buku Teks Sejarah Sekolah Tak Cerita Hal Sebenar Tentang Perak

Pensyarah Kanan Bahagian Sejarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Azmi Ariffin, berkata kisah Perjanjian Pangkor yang ditulis di dalam buku teks Sejarah sekolah adalah dari sudut pandang pihak British.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejarah mengenai kedatangan kuasa Barat ke Tanah Melayu telah diceritakan menerusi silibus buku teks sekolah Sejarah Tingkatan 3.

Buku teks tersebut turut menerangkan bagaimana pihak British meluaskan kuasanya di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, termasuk Perak yang dilakukan menerusi Perjanjian Pangkor 1874.

Namun menurut Pensyarah Kanan Bahagian Sejarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Azmi Ariffin, fakta berkenaan Perjanjian Pangkor yang ditulis di dalam buku teks Sejarah sekolah adalah kurang tepat.

Buku teks terbabit menjelaskan bahawa perjanjian itu berlaku disebabkan perselisihan faham antara Sultan Abdullah dan Sultan Ismail serta pergaduhan antara kongsi gelap yang mencetuskan Perang Larut di Perak.

Katanya, walaupun fakta tersebut telah dipertikaikan sejak 1970-an, termasuk oleh sarjana Barat, sejarah Perjanjian Pangkor yang diterangkan dalam buku teks sekolah masih belum diperbetulkan.

“Perjanjian Pangkor 1874 adalah pintu yang membuka peluang kepada British untuk membuat campur tangan di negeri-negeri Melayu. Kefahaman umum pada Perjanjian Pangkor kini satu kekeliruan bahkan penipuan sejarah yang amat dahsyat.”

Pensyarah Kanan Bahagian Sejarah USM, Dr Azmi Ariffin

Raja Ismail Ditabal Sebagai Sultan Setelah Dipaksa

Menerusi siri ‘Apa Khabar Dr Azmi Ariffin?’ yang dimuat naik di akaun Facebook Penerbit USM, dia menerangkan bahawa penyelidikannya mendapati setelah kemangkatan Sultan Ali, anakanda baginda Raja Abdullah telah menolak pertabalan sebagai sultan.

Perkara ini menyebabkan para pembesar Perak sewaktu itu bermuafakat melantik Raja Osman, anak Sultan Ali, sebagai Sultan Perak baharu.

Namun begitu, Raja Osman turut menolak perlantikan tersebut dan mencadangkan Raja Bendahara Perak, Raja Ismail yang bersetuju dengan pertabalan tersebut setelah dipaksa.

Azmi menjelaskan bahawa berdasarkan kepada adat istiadat Perak, jika sultan baharu tidak dilantik, jenazah Sultan Ali akan kekal tidak dikebumikan ketika itu.

Untuk makluman, Perak mengamalkan sistem penggiliran pewarisan takhta yang mana seseorang hanya berhak ditabalkan sebagai Sultan setelah memegang tiga jawatan iaitu Raja Di Hilir, Raja Bendahara dan Raja Muda.

Sumber: Buku teks Sejarah Tingkatan 3

Merujuk kepada buku teks Sejarah Tingkatan 3, dinyatakan bahawa krisis dalam kalangan kerabat diraja Perak berkenaan pewarisan takhta telah berlaku pada akhir abad ke-19.

Azmi memaklumkan buku teks Sejarah sekolah menyatakan bahawa Raja Ismail telah merampas hak dan kedudukan Raja Abdullah.

Tambahan pula, dia berkata buku teks itu seolah-olah mengatakan rampasan kuasa yang dilakukan oleh Raja Abdullah berlaku hanya sehari setelah perlantikan Raja Ismail, walhal ia berlaku selepas setahun.

Perjanjian Pangkor Secara Paksaan

Dia menerangkan bahawa setiap perjanjian yang dilakukan semasa zaman penjajahan, termasuk Perjanjian Pangkor, adalah berbentuk imperialisme penjajahan. Ia bukan perjanjian yang dibuat secara adil, tetapi berlaku secara gertakan, ugutan, paksaan dan penipuan.

Perkara sama turut berlaku di Singapura apabila British melantik seorang sultan dengan tujuan mendapatkan tandatangannya demi merampas wilayah itu. Keadaan ini juga terjadi di Perak dan di Thailand menerusi Perjanjian Bangkok.

“Mereka (British) buat perjanjian untuk serahkan wilayah ini macam wilayah itu adalah hak mereka. Keadaan atau kes seperti ini juga yang berlaku di Tanah Melayu.”

Pensyarah Kanan Bahagian Sejarah USM, Dr Azmi Ariffin
Sumber: Buku teks Sejarah Tingkatan 3

Menerusi penerangan oleh Azmi, Perjanjian Pangkor bukanlah dibuat secara sukarela, tetapi dipaksa menerusi gertakan serta ugutan ketenteraan.

“Apabila British gagal menjadikan Raja Abdullah sebagai sultan, mereka kemudian merancang untuk melantik orang lain untuk pecat Raja Ismail melalui surat paksa. Melalui surat itu, Raja Abdullah perlu tegaskan kedudukannya sebagai sultan terhadap Raja Ismail.”

Pensyarah Kanan Bahagian Sejarah USM, Dr Azmi Ariffin

Jika Raja Abdullah gagal menjadi sultan, British akan menghantar surat lain yang menabal Raja Yusuf pula sebagai sultan baharu, kata Azmi.

Dia menekankan bahawa British hanya mahukan seorang sultan yang berkuasa demi memenuhi kehendak mereka.

Menurutnya, buku teks Sejarah juga mungkin tidak menerangkan bahawa British telah menggunakan peperangan pada peringkat akhir untuk menguasai negeri Perak.

Pembunuhan JWW Birch Sebagai Alasan Peperangan

Malah, dia menerangkan bahawa pihak British menganggap pembunuhan James W. W. Birch pada 1875 sebagai ‘hadiah daripada Tuhan’ yang kononnya masyarakat Melayu mengisytiharkan perang terhadap mereka.

Insiden ini menyebabkan British membawa masuk askar-askar dan mencuba menggunakan senjata baharu, termasuk pelancar roket.

“Ketika itu satu pelancar roket dihantar dan mereka gunakan untuk menembak dan membakar kampung-kampung. Malah ada yang dibunuh dan digantung pada pokok-pokok. British juga melaksanakan hukuman yang membabi buta, kanak-kanak, wanita dan orang tua ditembak dari belakang.”

Pensyarah Kanan Bahagian Sejarah USM, Dr Azmi Ariffin

Buku Teks Sejarah Tak Jujur Tentang British

Di samping itu, Azmi menerangkan terdapat banyak kisah sejarah yang teruk mengenai rakyat tempatan dicatatkan dalam buku teks seperti sistem pentadbiran, pembesar, masyarakat dan raja yang gila kuasa.

“Semuanya negatif. Sejarah yang diangkat adalah berkenaan perhambaan, sistem berkerah, hamba berhutang dan sebagainya yang mana semua itu sebenarnya boleh dipertikaikan.”

Pensyarah Kanan Bahagian Sejarah USM, Dr Azmi Ariffin

Dia berkata, kejahatan yang dilakukan penjajah British pula tidak dijelaskan dengan jujur kepada masyarakat seperti kejadian di Perak, yang mana Perjanjian Pangkor diceritakan dari sudut pandang British.

Sebaliknya, ia seolah-olah ingin mengatakan bahawa British telah datang untuk memakmurkan negara daripada penindasan pemerintah tempatan, serta memodenkan dan memajukan Perak, terangnya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.