fbpx
Now Reading
“Saya Malu” – Shahrir Samad Kecewa Hasni Tidak Dilantik MB Johor

“Saya Malu” – Shahrir Samad Kecewa Hasni Tidak Dilantik MB Johor

Hasni sebelum ini memaklumkan telah mencadangkan agar orang muda dipilih untuk memimpin Johor.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Umum pasti mengetahui yang Barisan Nasional (BN) baru-baru ini telah meraih kemenangan majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi membentuk kerajaan negeri yang kukuh.

Sehubungan itu ramai yang mula menjangkakan Datuk Seri Hasni Mohammad akan dilantik menjadi Menteri Besar Johor (MB) sekali lagi seperti yang dimaklumkan Presiden BN, Datuk Seri Zahid Hamidi sebelum ini.

Namun tidak lama kemudiannya timbul spekulasi yang mendakwa terdapat dua lagi nama yang turut disenarai pendek sebagai calon MB selain Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu iaitu Datuk Onn Hafiz Ghazi (ADUN Machap) dan Datuk Mohd Puad Zarkashi (ADUN Rengit)

Baca artikel berkaitan : PRN Johor : Menang Majoriti Dua Pertiga, BN Bakal Bentuk Kerajaan Negeri

Meskipun mengejutkan, perkara ini kemudiannya disahkan oleh Hasni yang memaklumkan telah mencadangkan agar orang muda dipilih untuk memimpin Johor.

Jelas beliau, ini kerana orang muda mampu memberikan idea dan sumbangan bermakna dalam pembangunan Johor.

Dengan kenyataan ini ramai mula menjangkakan calon yang paling menepati kriteria tersebut adalah Datuk Onn yang juga cicit kepada Pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar.

Isu ini kemudiannya turut menarik perhatian Ketua Bahagian Umno Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad, yang tampil meluahkan rasa kecewanya dengan apa yang terjadi.

Disebabkan itu beliau berasa malu untuk menghadirkan diri ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan bermula pada Rabu, 16 Mac ini walaupun dijadualkan menjadi jurucakap UMNO Johor.

“Mula-mula cerita itu sampai ke saya secara bisik-membisik. Saya hanya terdiam. Tadi, adanya kenyataan media oleh YB Dato Hj Ir Hasni. Bahasanya teratur dan sungguh halus. Tapi ia mengesahkan secara tersirat akan ada pengganti kepada dirinya bagi jawatan Menteri Besar Johor.

“Sepanjang kempen saya ketawakan PN dan PH serta sekutu yang tidak mampu menamakan calon mereka sebagai MB (Menteri Besar). UMNO sudah pasti dengan Datuk Hasni sebagai MB.

“Tapi itu tidak cukup kuat. Dan UMNO Johor tidak mampu lakukan apa-apa.

“Jadi, saya malu hendak ke Perhimpunan Agung UMNO Malaysia hujung minggu ni.

“Boleh dapat mandat rakyat, tapi tidak berupaya meletakkan ketua parti sebagai ketua kerajaan. Taklah sehebat mana UMNO Johor,” kata veteran UMNO itu dalam satu hantaran di Facebook.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.