fbpx
Now Reading
“Dia Inspirasi Saya” – Usia 52 Tahun Tak Halang Pelawak Singapura Genggam Ijazah Bersama Anak

“Dia Inspirasi Saya” – Usia 52 Tahun Tak Halang Pelawak Singapura Genggam Ijazah Bersama Anak

Anak perempuan telah menjadi inspirasi buat pelawak dari Singapura ini untuk menyambung pelajaran.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Mencari ilmu merupakan satu perkara yang tiada penghujungya. Sehingga tua pun kita hendaklah menuntut ilmu kerana ia bukan sahaja satu ibadah tetapi sebagai pelengkap kehidupan kita.

Baru-baru ini, pelawak Suhaimi Yusof yang berusia 52 tahun telah berkongsi di laman Instagram kejayaannya menamatkan pelajaran di universiti selepas menarik diri daripada tiga universiti pada 30 tahun yang lalu.

Pilih kerjaya daripada pelajaran, sangka tidak mampu

Menurutnya, semasa permulaan sesi pelajaran dia menyangkakan bahawa dirinya tidak mempunyai mampu untuk melakukannya dan memilih kerjaya daripada belajar.

“Dahulu saya memilih kerjaya saya daripada belajar, rakan saya sambung belajar di NUS sedangkan saya tidak.

“Belajar.. saya dapati ia bukan mudah, kerana memerlukan kemahuan dan disiplin yang tinggi,” jelasnya di dalam video tersebut.

Berjaya capai matlamat selepas 30 tahun

Walau bagaimanapun, matlamat itu tetap dapat dicapai olehnya selepas 30 tahun apabila berjaya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Kelas Pertama dalam Produksi Media Penyiaran daripada Universiti Teeside.

Pelawak dari Singapura ini telah melanjutkan pelajarannya di Universiti MDIS bersama dengan rakan selebriti, Fauzie Laily, 37, yang turut dianugerahkan ijazah yang sama.

Ucap terima kasih kepada rakan kerana tunjuk jalan

“Terima kasih kepada rakan lama, Encik Fuadi Rahmat yang juga merupakan seorang pensyarah kanan di MDIS kerana telah menunjukkan jalan kepada saya.

“Dia telah membuka pintu serta memberi semangat kepada saya,” tulis Suhaimi di dalam kapsyennya.

Anak jadi inspirasi untuk sambung belajar

Sementara itu, beliau turut berkongsi bahawa anak perempuannya merupakan inspirasi untuk beliau kembali menyambung pelajaran iaitu Nurjannah Binte Suhaimi, 25.

Anaknya itu telah menamatkan pelajaran di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus dan Seni Reka pada 2021.

“Ketika anak perempuan saya belajar di NTU, saya fikir bukankah seronok untuk menamatkan pengajian dengan anak perempuan saya pada tahun yang sama,” katanya lagi.

Suhaimi turut memaklumkan bahawa konvokesyennya telah ditangguhkan ke tahun ini berikutan dengan langkah yang diperketatkan kerana Covid-19.

Beliau turut berpesan bahawa jika dia boleh belajar dan menamatkan pelajaran dengan jayanya pasti orang lain juga boleh.

“Jika saya boleh melakukan ini sesiapa sahaja boleh,” tulis Suhaimi lagi.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.