JIM Tahan Lelaki Singapura Tinggal Lebih Masa Di Malaysia Sejak 2011
Lelaki yang merupakan warga Singapura itu telah tinggal lebih masa iaitu hampir 13 tahun sebelum pihak JIM Johor menahannya pada 26 Februari.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui setiap warganegara luar yang datang ke negara ini melalui dua pas iaitu sebagai pelancong atau sebagai pekerja yang mempunyai permit.
Namun setiap pas terbabit mempunyai tamat tempoh dan ia perlu diperbaharui sekiranya seseorang warga asing itu masih ingin duduk di negara ini secara sah.
Walau bagaimanapun, terdapat segelintir warga asing yang tidak mematuhi syarat tersebut dan tinggal di negara ini secara lebih masa dan kantoi selepas mereka ditahan oleh pihak berkuasa seperti polis atau Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Lelaki warga Singapura kena tahan kerana tinggal lebih masa
Terbaharu, JIM Johor bertindak menahan seorang lelaki warga Singapura yang telah tinggal di negara ini lebih masa selama hampir 13 tahun.
Lelaki berkenaan antara lima warga asing yang ditahan dalam Ops Bersama yang dilakukan pada 26 Februari jam 9.30 pagi.
Operasi berkenaan dilakukan secara bersepadu dengan Bahagian Penguatkuasaan JIM Johor dan Majlis Bandaraya Johor Bharu serta Majlis Bandaraya Pasir Gudang.
Terima aduan orang ramai berhubung kegiatan warga asing bina struktur kedai atas rizab awam
Menurut Pengarah JIM Johor, Baharuddin Tahir tindakan menahan warga asing itu diambil selepas JIM menerima aduan dari orang ramai mengenai kegiatan membina struktur kedai di atas rizab awam tanpa kebenaran dan kewujudan warga asing di Jalan Wadihana, Johor Bahru.
“Hasil pemeriksaan operasi tersebut mendapati seorang lelaki warga Singapura berusia 34 tahun telah tinggal lebih masa sejak 2011. Turut ditahan di lokasi sama seorang warga Bangladesh kerana melanggar syarat pas yang ditetapkan.
“Dalam operasi di sekitar Pasir Gudang pula, JIM telah menahan dua lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga Pakistan kerana tidak mempunyai sebarang permit yang sah untuk berada di Malaysia,” jelasnya.
Lima warga asing ditahan dipercayai terbabit dalam tiga salah laku
Kesemua mereka dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas mahupun permit yang sah untuk berada di negara ini.
Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang ditetapkan.
“Sebanyak 1 notis untuk hadir ke pejabat dikeluarkan kepada individu dalam operasi tersebut bagi membantu siasatan. Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.”
Jelasnya lagi, JIM dengan kerjasama penguatkuasaan di negeri lain akan terus mempergiatkan operasi dalam membanteras isu lambakan pedatang asing tanpa asing selain turut memandang serius isu warga asing yang bertindak menyalahgunakan pas serta permit yang diberikan.
Selain itu, beliau turut mengingatkan tindakan tegas akan ambil terhadap PATI yang melanggar undang-undang.