fbpx
Now Reading
Tindakan Rakyat Malaysia Di Singapura Sanggup Cari Owner Selepas Jumpa Dompet Berisi Duit Raih Pujian

Tindakan Rakyat Malaysia Di Singapura Sanggup Cari Owner Selepas Jumpa Dompet Berisi Duit Raih Pujian

Menurut Zimmy, sebaik menjumpai dompet tersebut dia segera memasukkan ke dalam beg dan memuat naik di grup Facebook untuk mencari pemiliknya selain memaklumkan wang yang terdapat dalam dompet itu bernilai sekitar RM1,700.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Segelintir dari anda pasti pernah terjumpa dompet atau wang yang keciciran di tengah jalan.

Buat mereka yang gelap mata pasti akan mengambil duit atau barangan berkenaan namun bagi mereka yang bersifat amanah dan jujur pasti akan cuba sebaik mungkin untuk mengesan si empunya.

Tidak kiralah berapa jumlah tersebut pasti akan berusaha untuk mencarinya.

Lelaki jumpa dompet yang mengandungi wang ribuan ringgit

Perkara sama turut dilakukan oleh seorang rakyat Malaysia, Zimmy Peter Bagang yang bekerja di Singapura apabila dia berusaha mencari pemilik sebenar dompet yang dijumpai sewaktu pulang dari kerja dari negara jiran itu ke Johor Bahru (JB) pada 21 Februari lalu.

Kisah itu dikongsikan Zimmy di grup Facebook Malaysia-Singapore Border Crossers (MSBC) yang memaklumkan dia terjumpa satu objek berkilat di atas bangku berdekatan sebatang pokok yang sebenarnya adalah dompet semasa ingin ke parkir motosikal di kompleks Changi Business Park sekitar jam 9 malam.

“Saya tergerak hati untuk melihat objek tersebut. Rupa-rupanya ada dompet berzip dan saya terus membukanya dan mendapati sejumlah wang yang banyak.

“Tanpa berfikir panjang saya simpan dompet tersebut dalam beg galas kerana saya bergegas balik ke JB. Setiba di rumah kira-kira pukul 10.30 malam saya buka dompet itu semula untuk mencari pemiliknya dan mendapati ada kad permit kerja,” jelasnya kepada mStar.

Wang yang dijumpai oleh Zimmy bernilai S$482.50 (sekitar RM1,700.00).

Kongsi dalam grup MSBC untuk cari pemilik dompet

Jelas Zimmy yang berusia 41 tahun, dia memilih memuat naik di grup Facebook terbabit memandangkan ia diikuti oleh ramai rakyat Malaysia yang selalu berulang ke Singapura.

“Saya percaya ini antara cara paling cepat untuk mencari pemilik dompet tersebut memandangkan saya hanya masuk kerja ke Singapura pada waktu tengah hari.

“Posting disiarkan pada kira-kira pukul 8 pagi Khamis (22 Februari) dan saya tidak menyangka ramai yang kongsi. Pukul 8.38 pagi saya dihubungi oleh seorang rakan kepada pemilik dompet tersebut.

“Saya terus memberikan nombor WhatsApp untuk berhubung dengan pemiliknya iaitu Encik Wang dan berjaya dipulangkan oleh saya sendiri kepada Encik Wang pada pukul 4.15 petang hari sama,” jelasnya yang berasal dari Dalat, Sarawak.

Tolak tawaran wang tunai, sebaliknya hanya ambil duit teh tarik selepas didesak pemilik dompet

Dia kemudian rasa bersyukur serta lega kerana akhirnya dapat memulangkan wang tersebut kepada pemiliknya.

“Dia menawarkan saya sejumlah wang sebagai tanda penghargaan. Saya menolaknya secara baik dan memberitahunya bahawa wang itu banyak.

“Nampaknya dia tidak berganjak sehingga saya menerima wang itu. Dia sekali lagi mendesak untuk saya mengambilnya.

“Untuk tidak mengecewakan dia, saya hanya boleh menerima dua keping syiling bernilai S$2 (RM7.11). Tidak lebih daripada itu, cukup untuk saya membeli teh tarik.”

Difahamkan Zimmy mula bekerja di negara jiran itu sejak pada tahun 2006 sebagai juruteknik di sebuah kilang dan kini merupakan pekerja di Citibank Singapore Limited sejak 2014.

Pernah jumpa dompet lain pada tahun 2023

Ini juga bukanlah kali pertama insiden seperti ini berlaku malah Pada 7 Mac tahun lalu, Zimmy juga pernah menjumpai dompet di Pusat Pemeriksaan Woodlands di Singapura dan turut membuat pengumuman di grup Facebook yang sama.

Hasil muat naik itu dia menjumpai pemilik dompet berkenaan dan memulangkannya semula kepada pemilik sebenar.

Dia juga turut menasihatkan masyarakat yang bekerja di Singapura khususnya yang berulang alik dari Malaysia untuk sentiasa mengamalkan sikap jujur dan bertanggungjawab.

“Sentiasa bersikap jujur dan penuh rasa tanggungjawab dengan memulangkan barang-barang tersebut pada kadar segera. Sentiasa memudahkan urusan sesama manusia.

“Hidup ini penuh dengan misteri, hari ini kita berbuat baik dengan orang lain. Esok lusa orang lain kaan berbuat baik dengan kita,” jelasnya lagi.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.