fbpx
Now Reading
Ustazah Asma’ Tegur Tindakan Memalukan Sekumpulan Lelaki Beri Hadiah Berunsur Lucah Kepada Pengantin
Beri hadiah lucah kepada pengantin, Ustazah Asma tegur tindakan bagi hadiah memalukan

Ustazah Asma’ Tegur Tindakan Memalukan Sekumpulan Lelaki Beri Hadiah Berunsur Lucah Kepada Pengantin

Pendakwah terkenal itu turut menasihati orang ramai agar tidak mengikuti budaya memberi hadiah yang boleh memalukan pasangan pengantin.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pemberian hadiah kepada pasangan yang baru sahaja berkahwin merupakan sesuatu yang biasa dilakukan. Malah pemberian ini juga bertujuan untuk membantu pengantin dalam memulakan kehidupan baru mereka.

Namun, tidak kurang juga ada yang mengambil kesempatan ini dengan memberi hadiah yang lain daripada yang lain atau unik serta ada juga yang menggunakan masa ini untuk memberi hadiah yang berunsur lucah kepada pasangan pengantin.

Trend beri hadiah memalukan tak patut dijadikan budaya

Perkara ini turut mendapat perhatian daripada pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun yang menasihati trend memberi hadiah kahwin memalukan tidak sepatutnya dijadikan budaya, lapor Kosmo.

Menurutnya, jenaka lucah tidak seharusnya dijadikan sebagai satu budaya kerana ia boleh memberi kesan kepada mereka yang melihatnya.

Beri hadiah berunsur lucah

Foto: FB Ustazah Asma’ Harun

“Tular baru-baru ini satu video yang dimuat naik oleh sekumpulan lelaki yang menghadiri sebuah majlis kahwin. Dalam video tersebut menunjukkan kawan-kawan pengantin lelaki sedang beratur memberikan hadiah, amat mengejutkan apabila hadiah yang diberikan membawa unsur lucah.

“Sebenarnya saya yang menonton pun jadi malu, apatah lagi melihat kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan tertunduk sambil tutup muka dengan pemberian mereka yang tiada sedikitpun rasa malu. Saya mohon, janganlah budayakan jenaka lucah sebegini, fikirkanlah apa kesannya kepada sesiapapun yang melihat,” jelasnya.

Jika beri dengan tujuan publisiti dan maruah digadai ia tidak patut diikuti

Menurut Asma, trend memberikan hadiah ketika di atas pelamin kini telah menjadi ikutan. Tetapi ia tidak seharusnya diikut jika bertujuan untuk publisiti dan maruah digadai.

“Malu itu salah satu sifat mulia kerana ia melindungi kita daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah. Dengan malu, kita takut nak bermaksiat, sakiti orang lain, melihat perkara haram, mendedahkan aurat, buat perkara yang menjatuhkan maruah dan sebagainya.

Tak salah beri hadiah atau nak bahagiakan kawan, tapi jangan hingga mencemarkan adab

“Tidak salah ingin memberi, tidak salah ingin membahagiakan kawan ketika jadi raja sehari, tapi bila sampai mencemarkan adab depan orang ramai, bahkan ditonton pula secara terbuka di media sosial sebenarnya memang sangat melampau,” katanya lagi.

Sebelum ini tular sebuah video, yang memaparkan beberapa individu lelaki yang bertindak memberikan hadiah yang mempunyai unsur yang tidak senonoh kepada pengantin baru.

Video turut mendapat kecaman warganet

Lebih memalukan lagi apabila video tersebut turut mendapat kecaman daripada warganet yang menontonya sehingga ia disifatkan sebagai satu tindakan yang memalukan dan tidak patut dicontohi.

Selain itu, beliau menerusi hantaran di Facebook turut berkongsi beberapa adab yang perlu di ikuti ketika menghadiri majlis perkahwinan.

Antara adab menghadiri majlis perkahwinan ialah:

– Wajib hadir jika dijemput. Seseorang itu hendaklah hadir jika menerima undangan melainkan mempunyai halangan yang menghalang dari menghadiri majlis.

– Niat, kita hendaklah meniatkan kehadiran ke majlis itu sebagai satu ibadah dan memenuhi hak sesama Muslim kerana setiap perbuatan yang diniatkan sebagai ibadah kepada Allah pasti akan mempunyai ganjaran pahala yang sentiasa mengalir.

– Menutup aurat, memakai pakaian yang sopan serta menutup aurat sama ada lelaki mahupun wanita.

– Menjaga adab makan

– Memberi hadiah, kerana ia adalah salah satu bentuk atau tanda kasih sayang daripada seseorang dan ia merupakan sunnah Nabi SAW.

– Mendoakan kebahagian pengantin.

– Mendoakan tuan rumah kerana memberi makan. Selain mendoakan pengantin, doakan juga kepada tuan rumah yang sudah bersusah payah untuk menghidangkan makanan buat semua tetamu yang hadir.

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.