fbpx
Now Reading
Zoo Negara Tawar Promosi Istimewa Buat Pasangan Baru Berkahwin [Video]

Zoo Negara Tawar Promosi Istimewa Buat Pasangan Baru Berkahwin [Video]

Menurut pengantin perempuan, selepas selesai majlis akad nikah dan persandingan pada 23 Disember, suami telah mengajaknya untuk membuat sesi bergambar di zoo kerana ia dilihat unik.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Setiap pasangan yang merancang untuk melangsungkan perkahwinan pastinya inginkan kelainan untuk meraikan hari bahagia mereka.

Oleh itu, pelbagai perkara yang dilakukan oleh para pengantin agar hari bahagia itu menjadi kenangan terindah buat mereka.

Pasangan pengantin turut diring oleh Timbalan Presiden Zoo Negara dan staf

Namun sedikit berbeza dengan pasangan yang baru melangsungkan perkahwinan ini apabila mereka memilih Zoo Negara untuk lokasi bergambar di hari bahagia.

Menerusi video yang tular dikongsikan oleh @salam93 di TikTok, awalnya kelihatan pasangan pengantin itu berjalan sambil diiringi Timbalan Presiden Zoo Negara Malaysia, Datuk Rosly @ Rahmat Ahmat Lana dan staf Zoo Negara untuk melihat persembahan haiwan.

Kehadiran pasangan mempelai itu secara tidak langsung telah menarik perhatian ramai yang teruja melihat mereka dengan persalinan songket yang lengkap.

Suami ajak buat ‘photoshoot’ dekat zoo

Melihat di ruangan komen, pengantin perempuan turut mengulas mengapa mereka diraikan sebegitu rupa ketika berkunjung ke zoo berkenaan.

Menurutnya, selepas selesai majlis akad nikah dan bersanding pada 23 Disember (Sabtu) lalu, suaminya kemudian memberikan idea untuk mengambil gambar kahwin di zoo tersebut kerana ia merupakan sesuatu yang unik.

Oleh itu, pasangan tersebut memaklumkan kepada pihak pengurusan zoo berkenaan dan mereka kemudiannya disambut dengan meriah apabila hadir keesokan harinya seperti video yang tular di media sosial.

“Pasangan pengantin pertama yang bukan dari kalangan staf zoo yang diraikan oleh badan pengurusan Zoo Negara. Setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Rosly Lana,” katanya di dalam komen.

Timbalan Presiden Zoo Negara tak lepaskan peluang kongsi momen indah bersama pasangan pengantin

Dalam satu hantaran yang lain Rosly turut berkongsi video pasangan itu ketika berada di Zoo Negara.

Kelihatan mereka gembira, malah turut diberi kesempatan untuk memberi haiwan makan sambil bergambar.

Zoo Negara tawar promosi istimewa untuk pasangan pengantin

Susulan daripada itu, Zoo Negara telah menawarkan promosi tiket percuma kepada pasangan yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan.

Tawaran tiket percuma itu bermula pada 25 Disember dengan beberapa syarat.

Antara syarat untuk mendapat tiket percuma bagi meraikan hari istimewa anda adalah:

  • Terbuka kepada semua warganegara dan perlu hadir lengkap berpakaian pengantin semasa lawatan.
  • Pengantin hendaklah mengemukakan salinan dokumen pengesahan perkahwinan serta kad jemputan majlis di kaunter informasi B.
  • Harga diskaun tiket sebanyak 20% diberikan kepada ahli rombongan pengantin dalam satu resit pembelian.
  • Tawaran sah sehingga lapan hari dari majlis perkahwinan diadakan.
  • Tertakluk kepada terma dan syarat oleh pihak pengurusan Zoo Negara.

Walau bagaimanapun untuk sebarang maklumat lanjut berhubung tawaran ini, anda boleh menghubungi pihak Jabatan Perhubungan Awam dan Pemasaran di talian 011 5656 8865 atau e-mel terus ke marketing@zoonegaramalaysia.com.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.