fbpx
Now Reading
Pejabat Agama Islam Di Thailand Bakal Serah Nama Rakyat Kedah Yang Kahwin Di Siam

Pejabat Agama Islam Di Thailand Bakal Serah Nama Rakyat Kedah Yang Kahwin Di Siam

Antara kesan apabila perkahwinan di Thailand tidak didaftarkan di negara ini adalah anak yang lahir tidak dapat didaftarkan dengan JPN.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Topik tentang rakyat Malaysia berkahwin di Siam, Thailand bukanlah suatu perkara yang baharu.

Malah sehingga hari ini ada sahaja rakyat negara ini yang memilih untuk berkahwin di sana atas faktor tertentu demi menghalalkan ikatan mereka.

Namun apa yang menjadi masalah apabila segelintir yang berkahwin di sana tidak mendaftarkan status sebaik pulang ke Malaysia sehingga ia menjadi polemik apabila berlaku perkara tak diingini seperti penceraian, kelahiran anak hasil daripada perkahwinan tersebut dan sebagainya.

Nama rakyat Kedah yang kahwin di Selatan Thailand akan diserahkan kepada MAIK

Terbaharu, Pejabat agama Islam di Selatan Thailand bakal memberikan data nama rakyat di negeri Kedah yang telah berkahwin di sana kepada Majlis Agama Islam Kedah (MAIK).

Penyerahan nama itu dilakukan pihak berkenaan, bertujuan untuk menyelesaikan masalah perkahwinan rakyat negeri Kedah yang tidak didaftarkan di Malaysia.

Kelahiran anak tak dapat didaftarkan di JPN gara-gara perkahwinan tak berdaftar

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Perpaduan, Keluarga dan Masyarakat negeri, Datuk Halimaton Shaadiah Saad dengan penyerahan nama tersebut pihak berkuasa agama Islam negeri boleh menetapkan perintah kepada individu yang terlibat untuk mendaftakan status mereka dengan MAIK.

“Antara masalah pasangan berkahwin di Thailand yang tidak mendaftar dengan MAIK menyebabkan anak yang lahir tidak dapat didaftarkan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Isteri pula tiada hak jika bercerai hidup atau bercerai mati. Seterusnya isteri dan anak tiada hak ke atas harta pusaka, penilaian peninggalan ayah atau suami. Ini termasuk anak tidak dapat belajar di sekolah kerajaan yang mana masalah ini membimbangkan,” ujarnya, dipetik Kosmo.

Anak pegang status tak sah taraf kerana perkahwinan ibu bapa tak daftar

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kayu Hitam itu, antara masalah lain adalah anak yang lahir daripada hubungan itu berstatus tidak sah taraf kerana perkahwinan ibu bapa tidak berdaftar dengan Majlis Agama Islam negeri susulan tiada dokumen pengenalan.

“Semua ini menimbulkan masalah sosial kepada masyarakat pada masa akan datang. Jadi langkah mendapatkan senarai nama ini bertujuan untuk menggalakkan pasangan yang bernikah di sempadan mendaftar perkahwinan mereka dalam negara.”

Katanya lagi, antara pihak berkuasa agama Islam Selatan Thailand yang akan menyerahkan nama tersebut adalah:

  • Majlis Agama Islam Pattani
  • Majlis Agama Islam Songkhla
  • Pejabat Gabenor Songkhla
  • Konsulat Malaysia di Songkhla

Tambahnya lagi sebaik data diperolehi, satu kempen akan dibuat MAIK bagi meminta pasangan yang mendaftarkan perkahwinan mereka di pejabat agama masing-masing.

“Persefahaman itu dicapai dalam lawatan kerja pada Februari lalu membabitkan Wilayah Pattani, Yala dan Songkhla dalam memastikan pengesahan status perkahwinan rentas sempadan dapat dilakukan.”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.