Sebelum ini, pengumuman mengenai harga Perodua Axia terbaharu iaitu model D74A yang lebih tinggi daripada model generasi sebelumnya telah menjadi perbualan hangat orang ramai di media sosial.
Hal ini kerana Axia merupakan model Perodua yang paling mampu milik selepas keluaran model Perodua Kancil dan Perodua Viva sekitar berpuluh tahun dahulu.
Namun menurut Paultan, CEO dan Presiden Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, syarikatnya buat masa ini bukan lagi pengeluar yang hanya menghasilkan model murah semata-mata tanpa memikirkan spesifikasi untuk pelanggan.
Jelas Zainal, model-model Perodua masa kini lebih bersifat sebagai ‘berbaloi’ dan ‘bernilai’ untuk dimiliki oleh rakyat Malaysia.
Menurutnya lagi, terma yang paling sesuai untuk kesemua model terbaharu yang dijual oleh Perodua adalah ‘kereta dengan kos yang dioptimakan’.
“Maknanya kita cuba untuk memberikan lebih nilai, kita cuba untuk memberikan spesifikasi yang terkini, tetapi pada harga yang berpatutan.
“Apa yang kita nak adalah, kita bukan hanya menyediakan mobiliti (semata-mata). Tapi kita menyediakan mobiliti dengan keselesaan, dengan kesenangan dan semua perincian yang diberikan.
“Supaya rata-rata rakyat Malaysia dapat menikmati teknologi terkini dan juga untuk memenuhi keperluan mobiliti,” katanya dalam satu sidang media ketika majlis prebiu Perodua Axia 2023 Rabu lalu (8 Februari).
Untuk info, Axia 2023 ini dijual pada harga bermula RM38,600 untuk varian G, RM40,000 (Axia X), RM44,000 (Axia SE), dan RM49,500 bagi Axia AV.
Harga ini jelas lebih tinggi jika dibandingkan dengan generasi dan model facelift yang sebelumnya.
Walau bagaimanapun, harga Axia 2023 ini adalah bersesuaian dengan spesifikasi yang diberikan kerana generasi terbaharu ini diasaskan dari platform terkini Daihatsu New Global Architecture (DNGA).
Platform terkini DNGA itu bukan sahaja membolehkan Axia 2023 ini dihasilkan lebih besar dari model generasi sebelumnya, malah turut memberikan pemanduan dan keselesaan lebih baik.
Bagi spesifikasi enjin pula, kesemua varian Axia 2023 didatangkan dengan kotak gear D-CVT bagi menggantikan kotak gear automatic konvensional 4AT pada generasi sebelumnya.
Dengan adanya kotak gear D-CVT berserta sistem Eco Idle, Axia 2023 mampu mencapai penggunaan bahan api serendah 25.3 km/l berbanding 27.4 km/l pada generasi sebelumnya. Bacaan ini adalah berdasarkan ujian Kitaran Pemanduan Malaysia (MDC) yang lebih relevan dengan situasi pemanduan tempatan.
Difahamkan, Perodua Axia 2023 serba baharu ini telah rasmi dilancarkan pada hari ini (14 Februari) untuk pasaran Malaysia dengan 2,900 unit dihantar kepada pelanggan pertama, lapor Pandu Laju.
Menerusi video tersebut, meskipun gembira menerima hadiah namun masih kelihatan si bapa seperti bimbang pemberian…
Dalam satu lagi video berasingan yang dikongsikan Mohd Faiz, dia mendakwa bahawa kesemua kereta tersebut…
Penafian tersebut dilakukan Godiva Malaysia, selepas orang ramai mendakwa syarikat berkenaan mengambil Ruhainies sebagai duta…
Menurut Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh melakukan jualan bersyarat adalah satu kesalahan di bawah Akta…
Sebelum ini, media melaporkan MB Perlis ditahan SPRM selepas hadir untuk memberi keterangan kepada pihak…
Menurut Ketua Polis Kelantan, pihaknya kini membuka siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia…