Cubaan seorang lelaki di Kedah untuk mengelak dari ditangkap berkhalwat tidak menjadi apabila dia ditahan di rumah teman wanitanya di Taman Sri Pinang, Kulim hari ini (15 Mei).
Dia difahamkan cuba mengaburi pihak berkuasa dengan menggunakan alasan datang ke rumah kekasihnya itu untuk mengambil air kerana bekalan di rumahnya terputus.
Pemeriksaan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) kemudiannya menemui terdapat banyak barangan milik lelaki berusia 35 tahun itu di rumah sewa kekasihnya yang berusia 48 tahun.
Dua-dua mengaku masih bujang belum berkahwin
Menurut Pegawai Penguat kuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifudin Mat Saad, kedua-dua individu berkenaan yang merupakan penjawat awam turut mendakwa masing-masing masih berstatus bujang dan belum berkahwin.
Difahamkan pemeriksaan tersebut dilakukan PADK selepas menerima aduan dari orang awam berhubung kegiatan maksiat di rumah terbabit.
Pasangan kekasih itu juga gagal menunjukkan sebarang dokumen bukti hubungan mahram atau suami isteri sehingga menimbulkan syak mereka berkhalwat.
“Hasil pemeriksaan mendapati, keadaan pintu rumah itu tertutup dan berkunci dari dalam,” katanya dipetik dari Harian Metro.
Sehubungan itu kedua-dua mereka ditahan dan dibawa ke Balai Polis Kulim untuk dibuat laporan tangkapan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.