fbpx
Now Reading
Peguam Syarie Dedah Kes Wanita Miliki 2 Suami, Siang Rumah Lain & Malam Rumah Lain

Peguam Syarie Dedah Kes Wanita Miliki 2 Suami, Siang Rumah Lain & Malam Rumah Lain

Menurut Peguam Syarie itu, segalanya terbongkar apabila suami pertama yang dikahwini di Selatan Thailand mengemukakan sijil pendaftaran perkahwinan mereka ke pejabat agama negeri berkenaan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Di dalam Islam, seorang lelaki dibolehkan untuk mengahwini lebih daripada seorang wanita namun tidak melebihi daripada empat.

Bagaimanapun, syarat utama untuk seseorang suami itu berpoligami mestilah dia mempunyai kemampuan untuk menanggung isteri-isterinya serta bersikap adil.

Meskipun kebanyakan wanita tidak menyukai akan poligami ini, tetapi kes seorang suami mempunyai lebih daripada satu isteri adalah sesuatu yang normal dan selalu didengari.

Bagaimanapun, kisah seorang isteri mempunyai lebih daripada satu suami pula sangat jarang didengari terutamanya dalam agama Islam kerana perbuatan tersebut adalah dilarang oleh Allah SWT.

Peguam dedah pernah kendali kes isteri bersuami dua

Seperti baru-baru ini, tular di media sosial apabila seorang Peguam Syarie mendedahkan pernah mengendali kes seorang wanita yang mempunyai dua orang suami.

Difahamkan, wanita terbabit sanggup bersuamikan kedua-dua lelaki berkenaan kerana mahu terus bersama atas dasar cinta biarpun perbuatan tersebut salah di sisi agama.

Peguam Syarie, Shazril Khairy Mustafa memaklumkan kisah benar itu berlaku pada 10 tahun yang lalu melibatkan anak guamnya seorang wanita tempatan berusia dalam lingkungan awal 20-an di sebuah negeri di utara Semenanjung Malaysia.

Semuanya mula terbongkar bila suami pertama dedah siji pendaftaran perkahwinan

Menurutnya, segalanya terbongkar apabila suami pertama yang dikahwini di Selatan Thailand mengemukakan sijil pendaftaran perkahwinan mereka ke pejabat agama negeri berkenaan.

“Pada awalnya, wanita itu tidak mengaku tentang perkahwinan pertamanya dengan menafikan sekeras-kerasnya. Jadi saya bersama bapanya pergi ke Selatan Thailand untuk mengesahkan sijil pendaftaran pernikahan tersebut malah bapa wanita itu juga mengesahkan tulisan anaknya di situ.

“Wanita tersebut akhirnya membuat pengakuan dengan saya secara peribadi setelah didesak berlaku jujur dan memberi alasan bahawa perkara itu berlaku kerana dia sayangkan kedua-dua lelaki tersebut,” katanya dipetik dari Sinar Harian.

Menurutnya lagi, perkahwinan pertama memang dirahsiakan dengan keluarga namun wanita terbabit juga tidak membantah perkahwinan kedua dengan lelaki pilihan keluarga sehinggalah kejadian berkenaan berlaku.

Siang di rumah suami pertama, malam di rumah ibu bapa dengan suami kedua

Jelas Shazril, berdasarkan pengakuan yang dibuat, wanita tersebut akan bersama suami pertama pada siang hari dengan memberi alasan pergi bekerja manakala pada sebelah petang pula akan bersama suami kedua yang tinggal di rumah ibu bapanya.

“Apabila tahu perbuatan itu, saya nasihatkan bahawa perbuatan ini haram dan tidak boleh diteruskan. Akhirnya wanita ini akur dan memilih untuk berkahwin dengan suami kedua pilihan keluarganya.

“Memandangkan perkahwinan pertama itu sah, jadi pasangan terbabit perlu menjalani proses penceraian di mahkamah dan kemudian perlu akad nikah semula dengan suami kedua selepas tamat idah bercerai dengan suami pertama. Bagaimanapun ketika kejadian berlaku, wanita berkenaan tidak mengandung,” katanya lagi.

Kes sebegini banyak berlaku, rakyat tempatan kahwin wanita warga asing

Berkongsi lanjut, Shazril memaklumkan bahawa kes-kes sebegini banyak berlaku terutamanya melibatkan perkahwinan rakyat tempatan dengan wanita warga asing yang merahsiakan perkahwinan mereka dan mengatakan sudah bercerai.

Ujarnya lagi, pendedahan yang dibuat itu hanya bertujuan untuk memberi pengajaran kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati dan menyedari perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan besar di dalam Islam.

Video TikTok

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.