“Syukur Polis Dah Tutup Separuh” – Tular Tiang Lampu ‘Terpacak’ Di Tengah Jalan Di Sarawak
Menurut Clarence Chin, tujuan penutupan separuh jalan itu yang dilakukan oleh pihak polis adalah untuk keselamatan penduduk kampung.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Bagi yang gemar menghabiskan masa di sosial media, pasti anda pernah melihat beberapa koleksi gambar ‘troll’ seperti kesalahan pembinaan jalan, bangunan atau rumah yang kebiasaannya daripada luar negara.
Pun begitu, siapa sangka kejadian sedemikian turut berlaku di Malaysia apabila baru-baru ini tular tiang lampu berada di atas jalan yang baru diturap di sebuah kawasan kampung.
Pengguna FB tak sangka, keunikan jalan berlaku di kampungnya
Menerusi hantaran Facebook daripada salah seorang penduduk kampung di situ yang dikenali sebagai Clarence Chin, dia tidak menyangka ‘keunikan’ jalan berkenaan berlaku di kampungnya.
“Biasa nampak orang troll benda macam ini (di media sosial). Tapi kali ini nampak depan mata,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Tiang lampu hampir berada di tengah jalan
Menerusi perkongsian gambar yang dimuat naik Clarence Chin, kelihatan kedudukan tiang lampu itu hampir berada di tengah jalan berkenaan.
Menurut laporan Borneo Network, kejadian tiang lampu atas jalan yang sohor di media sosial itu berlaku di sebuah kampung di Belaga, Kuching, Sarawak.
Meskipun ia kelihatan unik, tetapi perkara itu juga amatlah membahayakan kepada pengguna jalan di kawasan tersebut kerana berisiko untuk melanggar tiang lampu berkenaan.
Pihak polis ambil langkah tutup separuh jalan, demi keselamatan
Susulan itu, pihak polis yang terkesan dengan penularan hantaran terbabit telah bertindak dengan menutup sebahagian jalan berkenaan bagi menggelak daripada sebarang insiden tidak diingini berlaku.
“Selepas kes tiang tular, ada beberapa orang yang tampil mengadu di mana mereka pernah hampir melanggar tiang tersebut terutama sekali waktu malam.
“Namun, syukur polis sudah tutup separuh jalan,” kata Clarence.
Jelas lelaki itu lagi, tujuan menutup separuh jalan terbabit adalah untuk keselamatan penduduk kampung.
Bagaimanapun, semakan kami di laman Facebook Clarence Chin mendapati kesemua hantaran yang dimuat naik olehnya mengenai tiang lampu itu sudahpun dihapuskan.