fbpx
Now Reading
Tokoh Akademik Negara, Dr. Adeeba Harap Kejayaannya Beri Inspirasi

Tokoh Akademik Negara, Dr. Adeeba Harap Kejayaannya Beri Inspirasi

Dr. Adeeba berharap agar usaha beliau selama ini dapat memberi semangat buat para pelajar untuk lebih berusaha bagi mencapai kejayaan selain mampu menangani cabaran di masa hadapan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pakar Penyakit Berjangkit Negara Profesor Dato’ Dr. Adeeba Kamarulzaman telah dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara dalam Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) Ke-15 yang diadakan pada 31 Oktober di sebuah hotel di Ibu Kota.

Menurut Dr. Adeeba, beliau mengucapkan terima kasih buat kesemua ahli akademik terutamanya di Universiti Malaya (UM) dalam bidang perubatan kerana memberi sokongan serta dokongan kepada beliau selama ini.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli akademik di Universiti Malaya dan di universiti lain terutamanya di fakulti perubatan,” katanya.

Dr. Adeeba harap dapat beri inspirasi kepada ahli akademik yang lain

Mengulas lanjut, beliau turut meluahkan rasa terharu dengan penghargaan anugerah yang diterima, selain berharap akan menjadi inspirasi kepada para akademik yang lain.

Jelasnya, beliau berharap agar usaha yang telah dilakukannya selama ini dapat memberi semangat buat para pelajar untuk lebih berusaha bagi mencapai kejayaan selain mampu menangani cabaran di masa hadapan.

“Saya berharap rakan-rakan saya di UM dan universiti lain terus menjalankan tugas dan amanah untuk masa depan negara.

“Saya rasa sangat bertuah kerana bukan sahaja dapat berbakti dari segi akademik tetapi juga dari segi memberi rawatan kepada pesakit-pesakit, ini merupakan anugerah daripada Allah,” jelas beliau.

Tidak mengejar anugerah, Dr. Adeeba Ikhlas berbakti kepada negara

Tidak hanya itu, Dr. Adeeba turut menjelaskan bahawa beliau serta ahli-ahli akademik yang lain tidak bekerja keras semata-mata untuk memenangi sesuatu anugerah, sebaliknya untuk berbakti kepada negara.

“Kita tak bekerja untuk anugerah ini, kita bukan jadi saintis sebab nak jadi pemenang anugerah nobel, cuma cuba yang terbaik,” ujar Dr. Adeeba.

Untuk info, Dr. Adeeba yang kini berusia 60 tahun bukan sahaja seorang pakar perubatan, malah merupakan pelopor program pengawalan penyakit berjangkit di Malaysia.

Dr. Adeeba berjaya tubuhkan PPUM & CERiA

Ibu kepada empat orang anak itu bertanggungjawab dalam menubuhkan Unit Penyakit Berjangkit di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada tahun 1996 serta pusat kecemerlangan Penyelidikan dalam AIDS (CERiA) di Universiti yang sama pada tahun 2008.

Malah, hasil daripada kepimpinan dan sumbangan beliau, CERiA telah menjadi satu daripada pusat rujukan HIV/AIDS terkemuka di negara ini.

Di peringkat antarabangsa pula, beliau merupakan anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan telah menjadi rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Global berkaitan Polisi Dadah.

Selain Dr.  Adeeba, seramai lima lagi ahli akademik lain yang juga dinobatkan sebagai penerima AAN Ke-15 dalam majlis yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Foto: BuzzKini/Hairy Ezreen
Berikut adalah senarai pemenang mengikut kategori:
  1. Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal bagi kategori Bidang Sains: Prof. Madya Dr. Tan Jun Jie dari Universiti Sains Malaysia (USM)
  2. Anugerah Penerbitan Buku: Prof. Dr. Shamsul Bahri Abdul Razak dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
  3. Anugerah Pengajaran bagi Kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan: Prof. Madya Dr. Adibah Abdul Latif dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
  4. Anugerah Pengajaran bagi Kelompok Sains Gunaan: Dr. Norliza Mohd Isa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
  5. Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk: Ts. Dr Mariani Abdul Hamid dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara menerima hadiah wang tunai sebanyak RM200,000 beserta trofi dan sijil, manakala penrima yang lain membawa pulang wang tunai RM50,000 beserta trofi dan sijil setiap seorang.

Foto: BuzzKini/Hairy Ezreen

Anugerah Akademik Negara

AAN merupakan acara tahunan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan merupakan program kemuncak bagi Sambutan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan Tahun 2023.

Program ini merupakan pengiktirafan tertinggi khusus untuk para ahli akademik sebagai menghargai kecemerlangan dan sumbangan mereka dalam melonjakkan nama Institusi Pendidikan Tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Bukan itu sahaja, AAN juga merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam usaha merangsang pembangunan kesarjanaan dan keintelektualan negara.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.