Dituduh Makan Daging Babi, Adam Corrie Dedah Tak Pernah Rindu Makanan Tidak Halal
Lebih mengejutkan, ada netizen yang mempersoalkan tindakannya makan menggunakan chopstick.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, pelakon Adam Corrie, dilemparkan tuduhan mengambil makanan tidak halal iaitu daging babi. Semuanya selepas beliau memuat naik gambar memakan ayam char siu bersama mi wantan.
Malah, ada yang turut mempersoalkan perbuatannya makan menggunakan penyepit makanan atau chopstick, daripada memakai tangan seperti sunah Rasullullah SAW.
Melihat kepada video tersebut yang dimuat naik ke akaun Instagramnya pada 26 Disember 2023, Adam turut mengucapkan bismillah sebelum makan, tetapi masih dituduh oleh sesetengah individu.
Ayam Char Siu Halal Dijual Di Restoran
Mungkin bagi segelintir mereka ayam tersebut kelihatan pelik kerana berwarna merah dan berbentuk seperti daging babi. Namun, ia sebenarnya menjadi warna merah kerana disediakan menggunakan pewarna makanan.
Ayam char siu turut dijual di beberapa rangkaian restoran halal seperti The Chicken Rice Shop, Oldtown White Coffee dan Mohd Chan. Oleh itu, tiada masalah bagi sesiapa memakan ayam tersebut sekiranya dibeli dari kedai yang halal.
Isu ini mencetuskan kemarahan pengguna X (Twitter) dengan sikap segelintir rakyat Malaysia yang menuduh tanpa sebarang bukti.
“Tidak Pernah Rindu Makanan Haram” – Adam Corrie
Terbaharu, Adam menerusi satu hantaran di Instagram berkata, terdapat komen di akaunnya yang berkata dia sanggup makan ayam char siu berwarna merah kerana rindu memakan daging babi. Bahkan lebih teruk, ada yang tidak semena-mena menuduhnya memakan khinzir.
Dia berkata tidak pernah rasa rindu untuk memakan makanan yang haram sejak kembali ke fitrah sebagai seorang Muslim 16 tahun lepas.
“Saya tak pasti niat mereka berkata begitu. Sama ada nak provok saya atau sebaliknya,” tambah Adam.
Adam turut menjelaskan bahawa dia bukan penggemar daging khinzir walaupun sebelum memeluk Islam. Malah, ramai individu bukan Islam yang tidak memakan daging tersebut atas alasan sendiri seperti mempraktikkan pemakanan ‘vegan’.
Lebih Banyak Perkara Halal Berbanding Haram
Menurut Adam, dia telah mempelajari tentang perkara halal dan haram setelah mengucap dua kalimah syahadah. Baginya, perkara yang halal itu adalah lebih banyak berbanding dengan yang haram.
Dia turut menerangkan bahawa rezeki yang diberi Allah SWT itu luas dan mudah untuk seorang Muslim mencari makanan yang halal.
Katanya lagi, jika dia pernah makan makanan tidak halal bertan-tan sekalipun, itu terjadi ketika dia masih belum memeluk Islam.
Adam telah memeluk Islam pada 13 Julai 2007 sebelum berkahwin dengan isterinya, Fazima Fuad.
Pasangan itu kini mempunyai seorang anak lelaki, Adam Fateh Lee, yang berusia enam tahun setelah 10 tahun penantian.