Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (WP) menyatakan Islam pada asasnya tidak melarang umatnya daripada mencantikkan diri, bahkan menganjurkan lagi untuk tampil kemas dan kelihatan cantik dengan cara sederhana dan sesuai.
Bagaimanapun jelas Pejabat Mufti WP, Islam melarang umatnya daripada bersikap keterlaluan, keangkuhan dan penipuan.
“Antara perbuatan yang dianggap melampau dan dilarang dalam Islam ialah perbuatan menyambung rambut atau dinamakan sebagai ‘al-wasl’ dalam Bahasa Arab. Orang yang menyambung rambut pula disebut al-wasilah,” katanya.
Dalam isu pemakaian bulu mata palsu pula, Pejabat Mufti WP menerusi laman sesawang rasminya berpandangan ia perlu dilihat daripada beberapa sudut.
Memasang bulu mata palsu adalah haram jika menggunakan bahan bernajis seperti bulu bangkai kerana tidak sah dibawa solat dan jika di luar, haram kerana sengaja menajis badan tanpa ada keperluan (al-tadammukh bi al-najasah).
Jika menggunakan bulu mata palsu separa kekal dengan menggunakan gam yang akan menghalang air daripada sampai ke kulit dan setiap bulu mata, mata hukumnya juga adalah haram kerana menghalang sahnya wudhu’ dan mandi wajib.
Ini kerana rambut dan bulu mata adalah bulu-bulu yang tumbuh pada badan manusia yang menjadi perhiasan tubuh badan dan tidak disunatkan untuk mencabutnya. Justeru, haram hukum menyambung bulu mata sama seperti haram menyambung rambut yang dilaknat dan tindakan mengubah ciptaan Allah SWT.
Haram memakai bulu mata palsu yang menggunakan bahan-bahan yang memudaratkan nyawa dan tubuh badan manusia sedangkan tujuan syarak adalah hifz al-nafs (menjaga nyawa manusia).
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 195.
“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”
Surah al-Baqarah, ayat 195
Haram hukumnya memasang bulu mata palsu sementara dan separa kekal bagi tujuan kecantikan dengan menggunakan bulu atau rambut manusia, haiwan, bulu sintetik, tanpa keizinan suami.
Hal Ini kerana terdapat unsur-unsur penipuan dan mengubah ciptaan Allah SWT.
Namun, dibolehkan memakai bulu mata palsu yang menggunakan selain rambut manusia atau bulu najis, dengan keizinan suami, dan tidak menggunakan bulu mata palsu separa kekal yang menghalang air untuk bersuci.
“Begitu juga sekiranya terdapat keperluan mendesak seperti seseorang yang ditimpa penyakit, ditimpa kemalangan, terbakar atau yang seumpamanya daripada perkara-perkara kecacatan lalu menyebabkan bulu matanya rosak atau cacat, maka pemakaiannya adalah dibolehkan pada ketika itu, tanpa menggunakan bulu manusia, bahan bernajis dan tidak menghalang air untuk bersuci.”
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Adapun bulu mata yang ditanam ke dalam kulit, maka ia tidak menghalang sahnya wuduk.
Berkongsi lanjut, Pejabat Mufti WP menyeru mereka yang memakai bulu mata palsu yang diharamkan hukum syarak agar meninggalkan perbuatan tersebut dan bertaubat kepada Allah SWT.
Mereka juga menyarankan agar bulu mata palsu dicabut dan gamnya dilunturkan bagi membenarkan air sampai ke bulu dan kulit semasa bersuci.
Walau bagaimanapun, Pejabat Mufti WP berkata jika bulu mata palsu itu tidak boleh dicabut dan akan menyebabkan kecacatan kepada bulu mata dan mata, maka dibenarkan mengekalkannya sehingga dia gugur sendiri setelah tamat tempohnya.
“Dalam tempoh tersebut, wajiblah pemakainya berwudhu’ dan mandi wajib seperti biasa dan solat hormat waktu.
“Namun setelah tamat tempoh bulu mata tersebut, maka wajib dia mengulangi kembali mandi wajib dan semua solat-solatnya yang dilakukan dalam tempoh memakai bulu mata palsu tersebut kerana mengambil hukum faqid al-tohurain (orang yang tidak boleh bersuci dengan air atau tanah),” ujarnya.
Jelasnya lagi, jika seseorang itu lemah imannya dan takut terjerumus ke lembah kekufuran kerana tidak mampu mengqada semua solat yang ditinggalkan, maka dalam keadaan darurat seperti ini diharuskan untuk bertaqlid dengan pendapat Imam al-Nawawi.
“Pendapat Imam al-Nawawi bahawa apabila solat itu sudah dilaksanakan pada waktunya maka tidak perlu mengulangi semula.
“Begitu juga dalam soal mandi wajib, terdapat pendapat lemah ulama Syafieyyah yang menganggap kotoran di bawah kuku dan ruang bahagian dalam simpulan rambut, yang menghalang air, adalah dimaafkan kerana terlalu sedikit,” katanya lagi.
Di akhir perkongsian, Pejabat Mufti WP menasihati semua umat Islam terutamanya wanita agar berhias dan mencantikkan diri dengan kadar yang sederhana serta tidak menunjuk-nunjuk dan mengubah ciptaan Allah SWT seperti mana yang dilakukan oleh kaum Jahiliyyah.
Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari lawan web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Perkara sama juga pernah dijelaskan oleh pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus dalam satu kuliyyah soal jawab agama.
Rata-rata pengguna media sosial mengecam tindakan lelaki terbabit kerana menunggang secara berbahaya dengan membawa kanak-kanak…
Jelas MUA Bellaz, keychain tersebut bukanlah dibuat mengikut muka anaknya 100%, namun ia dihasilkan dalam…
Menurut Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi, lelaki berkenaan ditemui dalam keadaan lemah, terketar-ketar dan menangis selepas…
Menurut Ustazah Asma’ lagi, berdasarkan kitab Mughni al-Muhtaj, terdapat tujuh keperluan nafkah yang wajib suami…
Ramai di kalangan netizen berpendapat Bella Astillah dan Daniesh Suffian adalah sepadan serta tidak menolak…
Pemuzik jalanan dikenali sebagai Genji Buskers bersama Kazim Band dilihat sedang mempersembahkan nyanyian lagu sekitar…