Seorang anggota polis yang tular dan didakwa melakukan kekasaran terhadap seorang awam telah dipindahkan ke jabatan lain.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, siasatan dalaman sedang dilakukan oleh pihaknya dan anggota berpangkat sarjan mejar itu dipindah dari Balai Polis Sri Gading, Batu Pahat sementara menunggu hasil siasatan.
Dia berkata tindakan mengikut undang-undang yang sepatutnya akan diambil setelah menerima hasil siasatan.
“Ketua polis balai itu dipindahkan ke satu jabatan lain di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, sementara siasatan dijalankan dan jabatan itu juga tidak memerlukan dia berurusan dengan orang awam,” kata Kamarul kepada Kosmo.
Anggota Disiasat Sejak Video Tular
Pada 12 Januari lalu, polis telah mengeluarkan satu kenyataan akan menyiasat anggota berkenaan.
Kamarul berkata kejadian itu akan disiasat secara terperinci oleh pihaknya. Ia disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menyebabkan kecederaan secara sukarela, berserta siasatan tatatertib.
Kamarul turut meminta orang awam atau saksi kejadiaan hadir membuat laporan mengenai kejadian tersebut.
Tular Video Polis Tampar Orang Awam
Terdahulu, tular satu video berdurasi 37 saat yang viral di sosial media sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.
Rakaman video menunjukkan seorang anggota polis menampar beberapa kali seorang lelaki di dalam sebuah restoran.
Berdasarkan laporan oleh Free Malaysia Today, Kamarul memaklumkan bahawa kejadian tersebut dirakam pada hari sama lelaki berkenaan (orang awam) ditahan iaitu 15 April tahun lepas.