fbpx
Now Reading
Pelajar UPM Dakwa Blue Lagoon Diceroboh, Boleh Rosakkan Data Kajian

Pelajar UPM Dakwa Blue Lagoon Diceroboh, Boleh Rosakkan Data Kajian

Blue Lagoon terletak di Hutan Simpan Ayer Hitam (HSAH), Puchong yang dianugerahkan kepada Universiti Putra Malaysia oleh kerajaan Selangor sejak tahun 1996.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sesetengah orang amat gemar melakukan aktiviti riadah yang mencabar seperti mendaki. Di dalam negara, terdapat banyak tempat-tempat pendakian yang menjadi tumpuan seperti Gunung Angsi, Broga Hill dan sudah tentu Gunung Kinabalu.

Namun, dalam keseronokan mendaki, harus diingat anda perlu mendapatkan permit bagi tujuan mendaki di sesetengah tempat.

Terdapat juga beberapa tempat yang dilarang untuk dimasuki sama sekali seperti Blue Lagoon yang terletak di Hutan Simpan Ayer Hitam (HSAH), Puchong.

Pelajar UPM Dakwa Orang Awam Ceroboh Blue Lagoon

Terbaharu, seorang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), Qayyum (@qayyumraub), mendakwa terdapat orang awam yang menceroboh kawasan Blue Lagoon.

Katanya, walaupun terdapat satu papan tanda ‘No Entry’ pada kawasan berkenaan tetapi masih terdapat ramai individu yang menceroboh.

Untuk makluman, HSAH, termasuk Bukit Wawasan atau Bukit Puchong terletak di bawah hak milik pengurusan UPM.

Penceroboh Boleh Didenda RM10,000

Menurut Qayyum, pendakian di Bukit Puchong sebenarnya dilarang sebelum ini, tetapi memandangkan ia telah sekian lama menjadi trek riadah penduduk, maka pihak UPM tidak lagi menghalang aktiviti tersebut.

Namun begitu, trek ke air terjun HSAH masih ditutup kepada orang awam, terutamanya kawasan Blue Lagoon.

Qayyum berkata hanya penyelidik UPM sahaja yang dibenarkan masuk. Selain daripada itu, individu yang didapati menceroboh boleh dikenakan denda sebanyak RM10,000 atau penjara tiga tahun.

Pengumpulan Data Kajian Terganggu

Tambah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Perhutaan berkenaan, Blue Lagoon merupakan tempat yang digunakan bagi menjalankan kajian, termasuk bagi penilaian tahun akhir pelajar.

Tindakan menceroboh bukan sahaja akan mencemarkan ekosistem di kawasan tersebut, tetapi juga boleh merosakkan pengumpulan data.

Di samping itu, Qayyum berkata bahawa penyelidik atau pelajar perhutanan UPM sendiri memerlukan kebenaran untuk ke kawasan tersebut, apatah lagi orang luar.

Seorang individu yang telah menjadi penuntut di universiti berkenaan selama tujuh tahun tidak pernah menjejakkan kaki ke kawasan terbabit kerana tiada sebarang kajian yang dijalankan di sana.

Sasar HSAH Sebagai Hutan Pendidikan Antarabangsa

Juga dikenali sebagai Sultan Idris Shah Forestry Education Center(SISFEC), HSAH merupakan Hutan Simpanan Kekal yang dianugerahkan kepada UPM menerusi perjanjian dengan kerajaan Selangor pada tahun 1996.

Penganugerahan itu bertujuan untuk memberi kebenaran kepada UPM bagi melakukan aktiviti berunsurkan pendidikan, penyelidikan dan pengembangan perhutan sehingga tahun 2095.

Kini, UPM dalam usaha untuk menjadikan hutan dengan keluasan 1,176.1 hektar tersebut sebagai model hutan pendidikan dan penyelidikan di peringkat antarabangsa.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.