fbpx
Now Reading
Projek Ladang Solar Di Parit Buntar, Perak Cetus Perdebatan Netizen

Projek Ladang Solar Di Parit Buntar, Perak Cetus Perdebatan Netizen

Merujuk kepada Garis Panduan Perancangan Ladang Solar Negeri Perak, pembinaan ladang solar hanya dibenarkan di dalam zon guna tanah industri dan pertanian, serta tidak boleh dibina di kawasan pertanian berproduktiviti.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Bahan api fosil merupakan sumber utama tenaga yang digunakan di Malaysia. Namun, sejak lima tahun lepas, negara telah mencatatkan penggunaan 5% tenaga hidro dan 6% solar daripada jumlah penggunaan tenaga negara.

Baru-baru ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkongsi video beliau merasmikan Loji Janakuasa Tenaga Solar Berkapasiti 50MW oleh syarikat swasta, Asiabina Solar di Parit Buntar, Daerah Kerian.

Menurut beliau, ladang solar dengan kos sebanyak RM 250 juta itu dapat menjana tenaga hijau bagi 25,000 isi rumah setahun. Perkara ini sekaligus dapat menjimatkan penggunaan elektrik tahunan dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida sehingga 100,000 tan.

“Ia merupakan langkah awal menjadikan Kerian sebagai hab pembangunan teknologi tinggi dan hijau sebagaimana Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP),” katanya.

Netizen Persoal Pembinaan Ladang Solar

Namun begitu, perkongsian itu telah mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna laman X.

Ada yang beranggapan projek ladang solar itu akan memberikan kesan terhadap alam sekitar dan merugikan, memandangkan tanah tersebut dapat digunakan bagi tujuan lain.

Selain itu, ada individu mencadangkan agar tanah di bawah ladang solar digunakan untuk tujuan penanaman atau penternakan. Malah ada juga yang berpendapat lebih baik sekiranya panel solar diletakkan di atas bangunan, permukaan kolam atau sepanjang lebuhraya berbanding di kawasan tanah lapang.

Beberapa individu turut menyifatkan ladang solar sebagai ‘greenwashing‘, iaitu melakukan kenyataan yang salah atau mengelirukan tentang kebaikan persekitaran sesuatu produk.

Pun begitu, ada juga yang berpendapat projek ladang solar dapat menjana pendapatan yang tinggi untuk negara.

Ladang Solar Dibina Di Kawasan Rata

Menurut seorang pengguna X (@twt_penerangan), keupayaan projek solar tersebut menghasilkan tenaga hijau berkapasiti 50MW sudah cukup membantu memandangkan fungi utamanya adalah untuk menjana tenaga tinggi.

Malah, menurutnya, tidak wujud isu penebangan pokok hutan dan pembaziran tanah memandangkan projek ini dibina di kawasan terbuka dan rata di Parit Buntar.

Merujuk kepada Garis Panduan Perancangan Ladang Solar Negeri Perak, pembinaan ladang solar hanya dibenarkan di dalam zon guna tanah industri dan pertanian. Malah, ia tidak boleh dibangunkan di kawasan pertanian berproduktiviti tinggi terutamanya di:

  • Kawasan jelapang padi
  • Kawasan pertanian Kelas 1 dan Kelas 2 (kecuali dijalankan secara integrasi tertakluk kepada Jabatan Pertanian)
  • Kawasan pertanian yang ditetapkan sebagai “Taman Kekal Pengeluaran Makanan”
  • Kawasan pertanian di atas tanah gambut dan organik
  • Kawasan pertanian yang boleh mengancam ekosistem semulajadi melainkan dilaksanakan secara mampan
  • Kawasan padi aktif luar jelapang

Malah, kebiasannya projek solar di bawah Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), hanya akan dijalankan dalam tempoh masa maksimum 21 tahun sahaja.

Sistem ‘Agrivoltaic’ Gabung Ladang Solar & Agrikultur

Merujuk kepada cadangan orang ramai agar penanaman dilakukan di bawah panel solar, sistem ini dikenal sebagai ‘agrivoltaic’, yakni menggabungkan penggunaan tanah bagi menjana tenaga solar dan agrikultur.

Namun, menurut seorang pengguna X, Azam Roslan, yang dipercayai seorang jurutera, perniagaan utama ladang solar adalah penjanaan tenaga dan bukanlah agrikultur. Dengan tenaga yang dihasilkan oleh ladang solar terbabit, ia boleh menjana pendapatan sehingga RM40,000 sehari bagi harga 20sen/kWh.

Dakwanya, idea menjalankan sistem agrivoltaic boleh mendatangkan risiko terhadap projek berkenaan. Dia turut menyenaraikan cabaran bagi menjalankan sistem agrivoltaic:

  • Kos tambahan untuk struktur panel solat yang lebih tinggi bagi memberi ruang kepada penanaman. Perkara ini juga akan menambah risiko beban angin
  • Serangga yang tertarik pada tanaman boleh rosakkan komponen panel solar
  • Tanaman menjalar atau tumbuh tinggi boleh berpaut pada struktur panel solar dan menyebabkan kerosakan fizikal
  • Pengairan pertanian bercanggah dengan keperluan pengairan sistem solar
  • Racun yang digunakan bagi menghalau serangga pada tanaman boleh merosakkan panel
  • Jika tanah digunakan bagi tujuan penternakan, terdapat risiko gangguan binatang seperti gigitan pada kabel.
  • Panel solar dan sokongannya akan mengganggu mesin pertanian dan operasi. Perkara ini sekaligus menyusahkan kerja-kerja menanam, menuai, dan penyelenggaraan harian.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.