fbpx

Ibu Hamil Alami Gangguan Emosi Ada Risiko Meroyan? Ketahui Faktor & Cara Mencegah

Antara tanda-tanda si ibu mengalami gangguan emosi adalah perubahan perasaan dan fizikal contohnya mengabaikan kesihatan, sukar tidur, tidak amalkan pemakanan sihat dan sebagainya.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Tidak dinafikan mengandung, hamil, atau mempunyai zuriat sendiri adalah impian buat kebanyakan wanita, malah dengan kehadiran si comel ia secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

Namun tahukah anda dalam gembira kerana bakal menyambut orang baharu, terdapat segelintir kaum ibu yang terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran, antaranya, gangguan emosi.

Perubahan hormon antara faktor gangguan emosi

Perkara ini berlaku disebabkan perubahan hormon yang tidak menentu dan perlu ditangani dengan baik agar tidak berlarutan hingga boleh mengakibatkan meroyan selepas bersalin.

Malah turut dianggarkan satu dalam 10 ibu hamil akan berdepan dengan gangguan emosi sama ada sewaktu mengandung atau selepas bersalin.

10 hingga 20% juga berdepan dengan isu meroyan atau kemurungan selepas mereka melahirkan bayi. Tetapi tidak semua yang serius hingga menyebabkan mortaliti atau kematian.

Seorang pakar yang juga pensyarah perubatan obstetrik dan ginekologi di UPM, Dr Nurul Iftida Basri memaklumkan terdapat sebab lain yang boleh mengakibatkan gangguan emosi selain hormon yang berubah.

“Sekiranya gangguan emosi ketika hamil menyebabkan kemurungan dan tidak dikesan atau dirawat dengan awal, ia boleh menjadi punca ibu meroyan lepas bersalin.

“Meroyan atau postnatal depression adalah berbahaya bukan sahaja kepada ibu tetapi kepada bayi yang baru lahir kerana ia boleh menggangu hubungan antara ibu dan bayi,” jelasnya, lapor Utusan Malaysia.

Kesan kepada masalah meroyan atau gangguan emosi

Perkara yang boleh berlaku jika ibu mempunyai masalah meroyan atau gangguan emosi:

  • Pembesaran dan perkembangan bayi terganggu.
  • Anak mempunyai masalah tingkah laku dan pembelajaran.
  • berisiko kepada anak dalam kandungan.
  • Boleh menyebabkan kelahiran pramatang.
  • Bayi lahir lebih kecil dan ringan iaitu kurang daripada 2.5 kg.

Jelas pakar perubatan itu, persekitaran seperti tiada sokongan daripada pihak suami mahupun keluarga atau masalah lain seperti kewangan atau tekanan di tempat kerja juga boleh menjadi punca emosi si ibu terganggu.

Tanda-tanda ibu alami gangguan emosi

Foto: Freepik

Oleh itu, sebagai suami atau ahli keluarga kita perlu untuk mengambil berat serta ketahui simptom-simptom awal kepada gangguan emosi agar ia dapat dirawat di peringkat awal.

Antara tanda-tanda ibu mengalami ganguan emosi adalah:

  • Perubahan perasaan atau fizikal si ibu seperti mengabaikan kesihatan atau penjagaan diri contohnya tidak membuat pemeriksaan antenatal, tidak mengamalkan pemakanan sihat, sukar tidur dan sebagainya.
  • Perhatikan keadaan si ibu sama ada menunjukkan perasaan sedih, murung atau menangis secara tiba-tiba dan berlebihan tanpa mengetahui apakah puncanya.
  • Ada niat untuk mencederakan diri sendiri dan membunuh diri.
  • Kelihatan bercelaru atau mengeluarkan kata-kata yang merepek contohnya merasakan bayi sakit walaupun tidak.
  • Tak mahu pegang bayi atau dengar suara-suara ghaib serta ada delusi seperti kepercayaan karut.

Kata Dr. Nurul Iftida ibu yang baru sahaja bersalin menggunakan tenaga yang banyak hingga menyebabkan mereka berasa letih selepas proses melahirkan dan perkara ini sedikit sebanyak boleh menyebabkan emosi mereka terganggu.

Malah perubahan yang dialami dari segi mental dan fizikal seperti tidak dapat rehat yang cukup untuk menjaga bayi selama tempoh 24 jam juga boleh menyebabkan si ibu mengalami masalah meroyan.

Langkah atau cara atasi masalah gangguan emosi

Foto: Pexels

Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa cara untuk menangani masalah daripada terus menghantui si ibu, antaranya:

  • Si ibu perlu tidur dan rehat yang cukup.
  • Amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang.
  • Mendapat sokongan dari suami dan keluarga.
  • Suami perlu peka pada perubahan isteri yang sedang hamil dan luangkan masa bersama, bantu mengemas rumah, elakkan pergaduhan dan yang penting, perlu banyak bersabar melayani mereka.
  • Nasihat untuk berjumpa doktor atau pakar psikologi untuk rawatan selanjutnya jika terdapat tanda-tanda gangguan emosi.

Rawatan lanjut adalah sangat penting supaya si ibu dapat dinilai dan dirawat oleh pakar psikiatri dan diberi rawatan terapi, kaunseling atau ubat-ubatan yang berkaitan mengikut tahap keseriusan meroyan.

Terdapat beberapa jenis meroyan

Jenis meroyan juga boleh dibahagikan kepada beberapa seperti ringan (postpartum blues), depresi dan juga psikosis.

“Jenis depresi dan psikosis memerlukan rawatan pakar manakala jenis ringan pula bersifat sementara dan berlaku kepada hampir 60 hingga 70% ibu bersalin.

“Bagi kes ringan, peluang untuk sembuh dan kembali normal adalah tinggi. Manakala bagi kebanyakan kes jenis depresi dan psikosis, ia boleh sembuh dengan rawatan yang sesuai, walaupun ada yang mengambil masa lebih dari setahun,“ jelasnya.

Namun ibu yang pernah berdepan dengan masalah ini tidak mustahil untuk mempunyai risiko mengalami simptom sama bagi kelahiran yang seterusnya.

Cara cegah daripada meroyan

Foto: Freepik

Untuk pencegahan daripada mengalami masalah meroyan pula, si ibu boleh melakukan beberapa perkara seperti:

  • Ibu yang baru melahirkan perlu dapatkan bantuan secukupnya bagi menjaga diri serta bayi.
  • Rehat dan tidur yang cukup.
  • Untuk yang beragama Islam boleh amalkan zikir, berdoa atau ayat-ayat suci al-Quran.
  • Luahkan perasaan atau situasi yang sedang dialami kepada individu yang dipercayai contohnya suami, ibu bapa, rakan dan sebagainya.
  • Dapatkan bantuan pakar terapi.

Apa yang penting jangan pernah biarkan diri anda berseorangan ketika berdepan dengan masalah ini.

Si suami pula perlu mainkan peranan anda kerana isteri penat membawa kandungan dan melahirkan. Sebagai individu yang menyayanginya, perlulah memberi sokongan yang teguh buat ibu kepada anak anda.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.