fbpx
Now Reading
Pelajar Cemerlang SPM Tawar Perkhidmatan Tuisyen Percuma Secara Dalam Talian

Pelajar Cemerlang SPM Tawar Perkhidmatan Tuisyen Percuma Secara Dalam Talian

Sejak April, Bhuvenraj telah memperuntukkan sekurang-kurangnya tiga jam seminggu bagi mengajar tuisyen percuma secara dalam talian kepada 100 orang pelajar.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Lazimnya, majoriti individu akan menyumbang bakti kepada masyarakat melalui ilmu dan pengetahuan yang diperolehi oleh mereka.

Antaranya seperti guru yang menyumbang bakti dengan berkongsi ilmu kepada pelajar manakala pengamal perubatan yang menyumbang dari segi merawat dan menyembuhkan pesakit.

Malah, ada juga individu yang baik hati sanggup menawarkan perkhidmatan secara percuma semata-mata untuk berbakti kepada masyarakat.

Itulah yang dilakukan oleh seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada Pulau Pinang, Bhuvenraj Ganesh yang berusia 18 tahun apabila menawarkan perkhidmatan tuisyen percuma bagi subjek Matematik dan Matematik Tambahan secara dalam talian.

Mahu Ubah Fahaman Tentang Matematik, Guna Tiga Jam Untuk Ajar Tuisyen

Menurut Bhuvenraj, perkhidmatan tuisyen dalam talian ini ditawarkan secara percuma khusus buat pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM.

Malah, melalui perkhidmatan ini, dia yang memperolehi keputusan SPM sebanyak 9A+ mahu berkongsi minatnya terhadap Matematik dan mengubah fahaman sesetengah individu yang menganggap matematik hanya untuk pelajar cemerlang sahaja.

“Ketika melakukan persiapan menghadapi SPM, saya perasan ramai yang menghadapi kesukaran dengan subjek Matematik dan Matematik Tambahan. Ada setengah individu yang benci dengan subjek berkenaan. Keadaan ini menganggu sehingga timbul persoalan ‘Bagaimana seseorang boleh benci subjek seperti Matematik?’,” katanya.

Sejak April, Bhuvenraj telah memperuntukkan sekurang-kurangnya tiga jam seminggu bagi mengajar tuisyen secara dalam talian kepada 100 orang pelajar.

Namun begitu, dia yang sedang menyambung pengajian peringkat A-Level di sebuah kolej swasta berkata kemungkinan masa yang diperuntukkan bagi perkhidmatan tuisyen ini akan dikurangkan atau disemak semula bagi mengimbangi kehidupannya sebagai pelajar kolej.

Foto: The Star

Hanya Mahu Membantu, Bukan Mahu Ambil Alih Tugas Pendidik

Bagi Bhuvenraj, penyediaan kelas tuisyen ini bukanlah bertujuan untuk mengambil alih tugas pendidik atau guru tuisyen, namun ia lebih kepada menjadi seorang mentor.

“Saya bukan seorang guru sekolah, jadi saya tidak boleh sediakan pengajaran dan pembelajaran yang komprehensif seperti guru di sekolah.

“Kebiasaannya, saya akan mengajar sekurang-kurangnya dua kali seminggu bagi membincangkan soalan lepas dan yang ditanyakan oleh pelajar. Saya juga turut menghantar bahan pembelajaran sebelum kelas bermula agar pelajar mempunyai masa untuk mengulang kaji,” katanya.

Dia juga turut berkongsi kaedah pembelajaran yang digunakan di mana dia akan mengaitkan situasi harian dan analogi bagi memupuk semangat cintakan Matematik.

Malah, dia juga turut mengajar pelajarnya agar tidak menghafal formula tetapi memastikan mereka faham tentang formula tersebut.

Sehingga kini, Bhuvenraj telah memuat naik 70 video mengandungi pelbagai topik yang berkaitan dengan Matematik bagi memudahkan pelajarnya membuat rujukan menerusi akaun Youtubenya.

Dia turut mempunyai kumpulan Whatsapp yang menghimpunkan 800 orang pelajar tingkatan empat dan lima dari seluruh negeri di Malaysia.

Pelajar Cipta Kejayaan Melalui Kelas Tusiyen, Mula Minat Dengan Matematik

Sejak menyediakan perkhidmatan tuisyen secara percuma ini, pelbagai pencapaian dan kejayaan yang telah dikecapi oleh anak muridnya.

“Saya berjaya bantu pelajar yang kurang pengetahuan asas Matematik menjadi yakin untuk menduduki peperiksaan subjek ini dalam penggal pertama.

“Malah, saya juga turut menyaksikan pencapaian beberapa orang pelajar yang berjaya memperolehi A+ bagi subjek Matematik dan Matematik Tambahan setelah menghadiri kelas tuisyen ini. Kejayaan ini membuktikan bahawa kaedah yang diajar amat berkesan,” katanya.

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.