fbpx
Now Reading
Paradigm Mall Bersama Jabatan Muzium Negara Anjur Pop-Up Muzium ‘Warna-Warni Busana Malaysia’

Paradigm Mall Bersama Jabatan Muzium Negara Anjur Pop-Up Muzium ‘Warna-Warni Busana Malaysia’

Selain pakaian dan aksesori daripada pelbagai etnik, banyak aktiviti menarik turut diadakan di pameran Warna-Warni Busana Malaysia seperti mewarna batik dan cara membuat tengkolok.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pejam celik tinggal beberapa hari sahaja lagi kita bakal menyambut kemerdekaan yang ke-66 tahun.

Bersempena dengan sambutan hari kemerdekaan ini, pasti kita semua tidak mahu melepaskan peluang untuk menyambutnya dengan penuh semangat patriotik.

Paradigm Mall bersama Jabatan Muzium Negara wujudkan muzium pop-up

Oleh itu, Paradigm Mall Petaling Jaya yang merupakan salah satu pusat beli belah di bawah pengurusan WCT Mall Management Sdn Bhd juga tidak melepaskan peluang apabila tampil berganding bahu bersama Jabatan Muzium Negara dan Kementerian Perpaduan Malaysia untuk mengadakan program Warna Warni Busana Malaysia dengan mewujudkan muzium ‘Pop-Up’.

Muzium ini berlangsung selama satu bulan bermula 16 Ogos sehingga 17 September yang bertujuan untuk mempromosikan sejarah negara kepada masyarakat khususnya generasi muda mengenai pakaian, aksesori serta tekstil yang dipakai oleh setiap etnik selain turut menceritakan tentang budaya masing-masing ketika awal pra-kemerdekaan negara.

Apa yang lebih menarik di Muzium Pop-up yang terletak di Tingkat G (Lot GF-33) ini, pengunjung turut dapat melihat lebih daripada 100 pameran serta replika daripada pelbagai etnik dan budaya daripada Jabatan Muzium Negara.

Sepanjang pameran ini berlangsung ia bertepatan dengan dua tarikh bersejarah negara iaitu Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos dan juga 16 September yang merupakan Hari Malaysia.

Muzium pop-up tampilkan pelbagai pakaian dan eksesori daripada pelbagai etnik

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan WCT Malls, Selena Chua berbesar hati apabila pusat membeli belah mereka telah terpilih menjadi tuan rumah bagi pameran muzium pop-up tersebut.

“Menampilkan pelbagai budaya dan etnik berwarna-warni di Malaysia yang turut melambangkan asas kukuh dan perpaduan negara yang dikaitkan dengan pertumbuhan negara serta kemerdekaan.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Muzium Malaysia atas sokongan yang amat berharga.

“Kami di WCT Malls sentiasa membangun dan bereksperiman dengan pelbagai cara menarik dalam menganjurkan acara promosi, aktiviti khususnya sewaktu endemik.

“Idea untuk mengadakan muzium pop-up di pusat membeli-belah ketika bulan patriotik seperti Ogos dan September merupakan satu perkara yang segar dan kreatif selain dapat menarik pelancong tempatan untuk melihat kekayaan sesebuah budaya, warisan serta perayaan sejarah yang dimiliki negara kita,” ujarnya.

Sebanyak 68 item yang terdiri daripada koleksi tradisional dipamerkan

Selain itu pameran ini turut menunjukkan keunikan, keanggunan, kepelbagaian fesyen tradisional dan perhiasan diri yang melambangkan sifat pluralistik masyarakat Malaysia.

Difahamkan sebanyak 68 item dihimpunkan dan ia terdiri daripada koleksi tradisional.

Sebahagian daripada koleksi tersebut turut dimiliki oleh Jabatan Muzium Malaysia manakala yang lainnya dipinjamkan daripada Arkib Negara Malaysia.

Bukan hanya itu, pameran ini turut menceritakan mengenai keunikan pakaian Istiadat Diraja yang menjadi identiti atau imej pemerintah dan kerajaannya dengan memberi fokus kepada pemakaian Tengkolok Diraja yang dipakai oleh pembesar seperti Raja-Raja Melayu pada beberapa abad lalu.

Fokus utama pameran ini adalah ciri dan persona gaya pakaian tradisional yang dipakai oleh pelbagai kaum di Malaysia.

Para pengunjung juga dapat melihat replika pakaian yang dipakai Tunku Abdul Rahman ketika melaungkan ‘Merdeka’ pada tahun 1957.

Foto: BuzzKini

Majlis pelancaran pameran ini turut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara iaitu Encik Mohamad Sobri Mat Daud.

Pelbagai aktiviti turut dijalankan

Selain daripada pameran pakaian, pengunjung juga turut berpeluang untuk melakukan beberapa aktiviti yang telah disediakan pihak Paradigm Mall, antaranya:

  • Bengkel Merdeka di mana kanak-kanak serta ibu bapa atau keluarga boleh menyertai seni dan kraf seperti mewarna batik dan belajar cara melipat tengkolong (aktiviti ini dijalankan sepanjang hujung minggu).
  • Peraduan mewarna Merdeka pada 26 Ogos.
  • Menebus GWP Merdeka di mana para pembeli boleh menebus tiket masuk di mana-mana muzium lokal sekitar Kuala Lumpur (terma dan syarat) dengan perbelanjaan minimum di Paradigm Mall Petaling Jaya.
  • Nikmati diskaum Program Rahmah dan sewaan serendah RM6.60.

Untuk sebarang maklumat lanjut mengenai pameran ini anda boleh mengunjungi beberapa muzium di bawah Jabtan Muzium Negara Malaysia di seluruh negara termasuklah Muzium Negara, Muzium Tekstil negara, Muzium Etnologi Dunia Melayu, Muzium Seni Kraf Orang Asli dan Muzium Muzik di Kuala Lumpur.

Anda juga boleh melawati ke laman sesawang Paradigm Mall untuk mengetahui lanjut berhubung festival dan promosi.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.