fbpx
Now Reading
MICHELIN Guide Umum 14 Restoran Baharu Di KL & Pulau Pinang Terima Anugerah Bib Gourmand 2024

MICHELIN Guide Umum 14 Restoran Baharu Di KL & Pulau Pinang Terima Anugerah Bib Gourmand 2024

Penambahan 13 kedai makan baharu ini menjadikan jumlah keseluruhan restoran Bib Gourmand di dua negeri ini meningkat kepada 45 restoran.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Penganugerahan Bib Gourmand menggunakan logo “Bibendum” atau “MICHELIN Man” sememangnya tidak asing lagi di kalangan pencinta makanan di serata dunia termasuk di Malaysia.

Sementara menantikan senarai penuh restoran pilihan MICHELIN Guide Kuala Lumpur dan Pulau Pinang 2024, MICHELIN Guide baru-baru ini telah mengumumkan beberapa nama restoran yang telah mendapat pengiktirafan Bib Gourmand.

Senarai 14 restoran ini, yang telah melalui proses penilaian terperinci oleh inspektor MICHELIN Guide yang bebas dan dirahsiakan identitinya, telah dipilih kerana menyajikan hidangan yang berkualiti pada harga yang berpatutan.  

Penambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan restoran Bib Gourmand meningkat kepada 45 restoran yang mana ia menawarkan pengalaman santapan mengagumkan pada harga berpatutan.

Ini jelas menunjukkan peningkatan ketara berbanding pilihan tahun lepas, yang menampilkan 32 restoran makanan ternama. 

Buat anda yang tidak tahu, anugerah Bib Gourmand ini mengiktiraf restoran dan gerai jalanan yang dianggap oleh inspektor MICHELIN sebagai penyedia nilai terbaik dari segi wang dan pilihan sajian yang ditawarkan. Restoran Bib Gourmand menawarkan hidangan pada harga antara $ dan $$, yang termasuk dalam kategori “jimat” dan “tidak begitu mahal”. 

“45 restoran Bib Gourmand ini merangkumi pelbagai rangkaian pengalaman kulinari, dengan tumpuan terhadap memberikan nilai cemerlang kepada pelanggan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.”

Pengarah Antarabangsa MICHELIN Guide, Gwendal Poullennec.

Menurut MiCHELIN guide, restoran yang baru diiktiraf ini memperkaya lagi landskap kulinari tempatan, menampilkan tempat makan yang meriah di kedua-dua kawasan itu.

“Terutamanya di Pulau Pinang, di mana inspektor kami berasa sangat gembira kerana dapat melihat begitu banyak gerai jalanan dan kedai kecil yang mempunyai personaliti mereka tersendiri, makanan yang enak dan menawarkan pelbagai hidangan tempatan yang berbeza,” kata kenyataan itu lagi.

Difahamkan 14 restoran itu terdiri dari lima kedai di Kuala Lumpur dan 9 di Pulau Pinang. Apa yang menarik ialah, salah satu daripada restoran Pilihan MICHELIN tahun lepas, Sri Nirwana Maju di Kuala Lumpur, telah mendapat pengiktirafan Bib Gourmand.

Berikut adalah restoran terbaru yang menerima anugerah Bib Gourmand:

Kuala Lumpur

Bagi KL, empat restoran adalah dalam kategori Penyertaan Terbaru manakala satu lagi dinaiktaraf daripada MICHELIN Selected. Ini menjadikan keseluruhan 20 restoran Bib Gourmand di KL kesemuanya dengan tawaran lebih daripada 10 jenis hidangan berbeza.

  • Hor Poh Cuisine
  • Jalan Ipoh Claypot Chicken Rice
  • Roti by d’Tandoor
  • Sek Yuen
  • Sri Nirwana Maju

Pulau Pinang

Di Pulau Pinang pula, lapan restoran ini adalah penyertaaan baharu serta 1 dinaik taraf dari Michelin Selected menjadikan keseluruhan premis Bib Gourmand di negeri itu meningkat kepada 25 kedai makan. Yang menariknya hampir 50% daripadanya adalah gerai jalanan. 

Kedai-kedai berkenaan adalah:

  • Ah Boy Koay Teow Th’ng
  • Bibik’s Kitchen
  • BM Cathay Pancake
  • Ghee Lian
  • Hot Bowl White Curry Mee
  • My Own Café
  • Penang Road Famous Jin Kor Char Kuey Teow
  • Siam Road Char Koay Teow
  • Sister Yao’s Char Koay Kak

Namun harus diingatkan buat korang yang beragama Islam, semak dahulu status halal kedai berkenaan sekiranya anda berminat untuk mencuba.

Senarai lengkap restoran pilihan MICHELIN Guide Kuala Lumpur dan Pulau Pinang 2024 akan diumumkan pada 17 November 2023, semasa Majlis MICHELIN Guide, dan akan diterbitkan dalam format digital di laman sesawang rasmi MICHELIN Guide dan aplikasi mudah alih MICHELIN Guide (iOS dan Android) pada hari yang sama.

Sebelum 17 November 2023, kesemua restoran pilihan (termasuk alamat restoran Bib Gourmand) yang ditunjukkan di dalam laman sesawang dan aplikasi adalah daripada edisi 2023.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.