PRN: Baby Shima Dedah Bakal Bertanding Jadi Calon Bebas
Baby Shima walau bagaimanapun, tidak mendedahkan manifesto serta DUN manakah yang bakal dipertandinginya nanti dalam PRN.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Tidak dinafikan semua individu mempunyai hak masing-masing untuk terlibat di dalam dunia politik termasuklah para selebriti.
Malah di negara ini, terdapat ramai di kalangan artis tanah air turut terlibat di dalam dunia politik dan turut menjadi calon pada Pilihanraya Umum atau negeri musim yang lalu.
Antara selebriti yang terlibat di dalam politik adalah Afdlin Shauki, Hans Isaac, Ahmad Idham, Altimet serta ramai lagi.
Baby Shima bertanding PRN
Terbaharu penyanyi sensasi, Baby Shima tidak ketinggalan apabila mengumumkan dia juga bakal bertanding menjadi calon bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal tiba tidak lama lagi.
Pengumuman itu dimaklumkan oleh pelantun lagu ‘Pura-Pura Bujang’ menerusi satu video yang dimuat naik dalam Instagram rasminya.
“Assalamualaikum rakyat Malaysia, dengan ini saya ingin mengumumkan yang saya akan bertanding pada PRN kali ini untuk berkhidmat dan membina rakyat.
“Ingat, kamu bawa perubahan. Fikir-fikirkanlah anak muda, undi saya,” katanya dalam video itu.
Tidak umum bertanding di DUN mana, mahu bela nasib rakyat
Dia bagaimanapun di dalam video itu tidak memaklumkan Dewan Undang Negeri (DUN) yang mana akan ditandingi.
Memetik laporan Buletin TV3, penyanyi berusia 30 tahun itu turut memaklumkan dia belum mahu mendedahkan manifestonya.
“Saya akan mengumumkan kawasan dan manifesto kemudian.
“Objektif saya menyertai politik untuk membela nasib rakyat agar beban dihadapi dapat diselesaikan.”
Melihat di ruangan komen, pengumuman itu bagaimanapun mendapat pelbagai reaksi di kalangan netizen apabila ada yang memintanya untuk fokus pada nyanyian sahaja.
Tidak kurang juga ada yang menyatakan mereka bakal menjadi pengundi penyanyi berkenaan.
Namun sejauh mana kesahihan pengumuman ini tidaklah kami ketahui.