fbpx
Now Reading
Jalaluddin Hassan Dedah Ada Peserta Hampir Menang RM1 Juta Dalam ‘Who Wants to Be a Millionaire?’

Jalaluddin Hassan Dedah Ada Peserta Hampir Menang RM1 Juta Dalam ‘Who Wants to Be a Millionaire?’

Katanya pihak NTV7 sebenarnya mahukan peserta terbabit menang dan bergelar jutawan, kerana itulah bilik kawalan serta-merta memberikan cue ‘jawapan muktamad’.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Apabila disebut ‘Who Wants to Be a Millionaire?’ (WWTBAM) pasti orang ramai tahu tentang rancangan kuiz televisyen nostalgik yang pernah terkenal suatu masa dahulu.

Merupakan hak milik satu syarikat penerbitan di United Kingdom, rancangan permainan televisyen yang menguji pengetahuan peserta itu sememangnya menjadi antara program yang ditunggu-tunggu suatu masa dahulu. Alang-alang itu, dapat uji kita punya pengetahuan sekali kan.

Hos WWTBAM Malaysia pula adalah pelakon terkemuka negara, Datuk Jalaluddin Hassan. Salah satu perkara yang menarik perhatian penonton adalah tingkah lakunya yang kelihatan santai dan bergaya sewaktu mengacarakan rancangan terbabit.

Meskipun rancangan tersebut telah lama, namun hari ini, tular di laman X satu temu ramah membabitkan Jalaluddin Hassan berhubung pengalamannya mengendalikan program tersebut. Menerusi carian kami, temu ramah berkenaan telah disiarkan di laman YouTube podcast Raksasa Manja sekitar November 2023.

“Jawapan Yang Saya Tahu Berdasarkan Kepada Pengetahuan Saya” – Jalaluddin Hassan

Apabila ditanya oleh hos podcast jika segala reaksinya dilakukan secara spontan, dia memaklumkan ada menerima isyarat (cue) dari pihak moderator. Namun begitu, setiap tindakan dan dialog diucapkan secara spontan oleh dirinya sendiri.

Hos juga bertanyakan jika dia pernah memberi sebarang hint kepada peserta untuk jawapan yang betul. Jalaluddin menerangkan bahawa dia sebenarnya tidak diberitahu jawapan bagi segala soalan yang dilontarkan di dalam rancangan terbabit.

Sebaliknya, dia hanya mengetahui jawapan berdasarkan tahap ilmu pengetahuan am sendiri. Akan tetapi, dia harus berlakon seolah-olah mengetahui kesemua jawapan terbabit.

Tambahnya lagi, rancangan WWTBAM telah menjadi satu fenomena, sehingga apabila ia disiarkan di kaca televisyen, orang ramai memilih untuk menontonnya berbanding berita. Keadaan ini sehingga menyebabkan aduan dilakukan yang menyebabkan kedua-duanya disiarkan pada waktu berasingan.

Jalaluddin juga berkata perkara yang paling seronok ketika menjadi pengacara bagi WWTBAM adalah apabila dibawa ke Perancis, ketika mana hos rancangan tersebut dari 80 negara di seluruh dunia dikumpulkan bersama.

Menurutnya, Malaysia merupakan negara pertama di Asia yang mengadakan rancangan permainan televisyen WWTBAM.

Peserta Hampir Jadi Jutawan

Jalaluddin yang menjadi hos bagi 13 musim rancangan tersebut mendedahkan bahawa seorang peserta telah hampir menang hadiah utama bernilai RM1 juta yang ditawarkan.

Ketika peserta tersebut menjawab soalan terakhir yang dikemukakan, dia segera menerima cue ‘jawapan muktamad’ daripada bilik kawalan. Keadaan berkenaan membuatkan Jalaluddin menjadi sedikit keliru.

“Alamak, kenapa cepat sangat jawapan muktamad ini. Ini nak bagi menang ke nak bagi kalah?”

Pengacara WWTBAM, Datuk Jalaluddin Hassan

Tidak jelas dengan cue tersebut, Jalaluddin meneruskan perang psikologi terhadap peserta terbabit sehingga menyebabkan dia menukar jawapan.

Hos berkenaan turut memaklumkan jika peserta tersebut mengunci jawapan yang salah, dia hanya akan membawa pulang sebanyak RM32 ribu.

“Terpulang kepada anda. Anda dah menang RM500 ribu. Anda boleh pulang dengan wang anda menangi. Atau anda boleh teruskan permainan untuk menangi RM1 juta. Mungkin malam ini malam anda. Tetapi jika anda jawab salah, anda akan kehilangan RM468 ribu. Anda hanya berjaya membawa pulang RM32 ribu. Itu minimum yang anda akan bawa pulang sebab dah sampai ke peringkat ini,” kata Jalaluddin melakonkan semula perkara itu.

Perkara ini menyebabkan peserta tersebut berhenti di peringkat itu kerana risau tidak menjawab dengan tepat.

Jalaluddin kemudiannya bertanya kepada peserta tersebut, “Kalaulah anda ingin teruskan permainan, apakah jawapan anda?”. Peserta itu memberitahu akan memilih jawapan B.

“Kalau awak jawab B, bermakna saya gandakan wang anda RM1 juta!”

Menurut Jalaluddin lagi, ayat tersebut membuatkan peserta berkenaan terduduk.

Setelah selesai permainan tersebut, barulah dia tersedar NTV7 memang mahukan peserta terbabit menang, kerana itulah cue ‘jawapan muktamad’ dikeluarkan dengan pantas. “Saya tengok atas, ada belon. Patutlah,” katanya.

Cuba Jaga Reputasi Peserta

Di samping itu, Jalaluddin menerangkan bahawa peserta yang tidak biasa duduk di hadapan kamera selalunya akan berasa sedikit gementar.

“Program ini macam berhantu,” katanya apabila menceritakan seorang doktor gagal menjawab soalan matematik mudah pada peringkat bawah RM1,000.

Apabila perkara sedemikian berlaku, dia cuba untuk menjaga reputasi peserta terbabit dengan mengatakan bahawa mereka mengetahui jawapannya, tetapi berasa terlalu gementar sehingga ‘blank’. Dia juga akan meminta peserta supaya tidak gementar.

Katanya, dia sama sekali tidak mahu mengaibkan peserta yang menyertai rancangan kuiz televisyen tersebut.

2 Versi WWTBAM Di Malaysia

Di Malaysia, WWTBAM telah ditayangkan antara tahun 2000 hingga 2002 yang dihoskan oleh Jalaluddin Hassan. Terdapat juga versi bahasa Cina dari 2002 hingga 2003 dengan Victor Gu sebagai pengacara. Kedua-dua versi ini telah disiarkan di saluran NTV7.

Dalam rancangan peringkat antarabangsa ini, peserta akan ditanyakan soalan berkenaan pengetahuan awam, dengan kesukarannya semakin meningkat bagi setiap soalan. Di Malaysia, terdapat 15 peringkat soalan, yang bermula dengan ganjaran mata wang RM100 dan diakhiri hadiah utama bernilai RM1 juta.

Namun, sehingga musim program tersebut tamat, tiada peserta yang berjaya mendapat RM1 juta.

Setelah menjawab satu soalan, peserta boleh memilih sama ada untuk meneruskan permainan atau berhenti di soalan tersebut dan membawa pulang wang tunai di peringkat itu.

Namun begitu, jika peserta meneruskan permainan dan memberi jawapan yang salah, mereka akan kehilangan kesemua wang tunai. Tetapi mereka masih boleh memenangi RM1,000 atau RM32,000 (peringkat selamat) bergantung kepada peringkat soalan.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.