Percutian Bulan Madu Suami Isteri Berakhir Dengan Tragedi Kematian
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Dapatkan isu trending, tips, berita semasa dan berita hiburan terhangat dan terpantas menerusi telegram disini !
Sungguh memilukan apabila percutian bulan madu pasangan suami isteri yang baru sahaja berkahwin selama seminggu berakhir dengan kecelakaan apabila si suami dijumpai lemas di Tasik Kenyir, Terengganu.
Mayat mangsa, Ami Azzizol Abu Bakri, 22, dikatakan telah dijumpai oleh seorang pengusaha chalet rumah rakit pada pukul 7.10 pagi tadi.
Menurut laporan Kosmo, pengusaha chalet rumah rakit tersebut bertindak memaklumkan penemuan mangsa kepada pasukan Polis Marin Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum mayat mangsa dikeluarkan dari tasik dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat.
Mangsa dikatakan telah mengalami kekejangan otot ketika sedang berenang di dalam sungai berhampiran rumah rakit yang disewanya pada pukul 5.50 petang Sabtu yang lalu.
Berita penemuan arwah Ami Azzizol turut dikongsikan kakak iparnya menerusi satu posting di akaun Facebooknya.
Difahamkan isteri mangsa, sepupu dan anak pemilik rumah rakit yang disewa mereka sekeluarga turut berada di tempat kejadian semasa ia berlaku.
Terdahulu, mangsa yang baru melangsungkan perkahwinan dengan isterinya, Syarifah Ramli, 21, dilaporkan hilang ketika bercuti di Tasik Kenyir untuk meraikan perkahwinan mereka bersama keluarga mentuanya yang menetap di Dungun.
Kisah kehilangan mangsa tular selepas beberapa individu dipercayai keluarga mangsa berkongsi kejadian tersebut kepada orang ramai.
Semoga seluruh keluarga mangsa khususnya si isteri diberikan kekuatan dan ketabahan untuk mengharungi ujian ini.