fbpx
Now Reading
Duit Tabung Haji ‘Hilang’: Wang Dipindahkan Ke Akaun Bank Pengadu Sendiri – TH

Duit Tabung Haji ‘Hilang’: Wang Dipindahkan Ke Akaun Bank Pengadu Sendiri – TH

Terdahulu seorang bekas pegawai kanan kerajaan di Sarawak mendakwa kerugian lebih RM30,000 selepas wang di dalam akaun Tabung Haji (TH) miliknya lesap.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak beberapa hari lalu, kecoh di media sosial kisah seorang bekas pegawai kanan kerajaan di Sarawak yang mendakwa kerugian lebih RM30,000 selepas wang di dalam akaun Tabung Haji (TH) miliknya lesap.

Datuk Jabidah Monseri, 66, yang menyedari kehilangan tersebut pada 30 November tahun lalu mengesyaki wang tersebut dipindah ke akaun milik orang lain.

Baca artikel berkaitan: Bekas Pegawai Kerajaan Dakwa Hilang Wang Simpanan RM30,000 Dalam Tabung Haji

Wang tidak hilang, tetapi transaksi buktikan ada pemindahan ke akaun sendiri

Terbaharu Lembaga Tabung Haji menyangkal perkara berkenaan dan mendedahkan siasatan mendapati berlaku transaksi pemindahan duit daripada akaun TH pengadu kepada akaun bank miliknya sendiri, lapor Berita Harian.

“Merujuk kepada dakwaan transaksi tidak sah yang berlaku di Sarawak yang dilaporkan media hari ini, siasatan TH mendapati transaksi pemindahan wang adalah daripada akaun TH pengadu kepada akaun bank miliknya sendiri,” kata Bahagian Komunikasi Korporat TH dalam satu kenyataan ringkas.

Pihak mereka bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai perkara itu.

2 kes tular dalam satu 1 minggu

Sebelum ini Jabidah Monseri mendakwa wang tersebut disyaki dipindah ke akaun orang lain serta dikeluarkan menggunakan mesin juruwang automatik (ATM) sejak 2018.

Jelasnya wang di dalam akaun tersebut sepatutnya berbaki lebih RM31,000 namun selepas melakukan pengemaskinian, dia mendapati ia hanya berbaki RM1,816.74.

Dakwaan tersebut timbul beberapa hari selepas seorang bilal masjid mendakwa wang berjumlah RM12,000 dalam akaun TH miliknya dipindah tanpa kebenaran pada Februari lalu.

Difahamkan mangsa membuat laporan polis pada 26 Februari lalu selepas mendapati wang di dalam akaun TH miliknya berkurangan.

Lembaga TH kemudian mengesahkan individu berkenaan telah menjadi mangsa penipuan dan wang tersebut dipindahkan melalui lima transaksi dalam tempoh empat hari.

Namun menurut TH, pihaknya telah mengambil langkah proaktif dengan membekukan akaun mangsa tiga hari sebelum aduan dibuat bagi mengelakkan berlaku kerugian yang lebih besar.

Ini selepas mereka mengesan terdapat transaksi yang mencurigakan berlaku pada akaun tersebut.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.