“Jangan Sampai Rakyat Desak Keluar Malaysia” – Sultan Johor Kecewa Putrajaya Seperti Anak Tirikan Johor
Sultan Ibrahim turut menzahirkan kekecewaan dengan keputusan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2018 untuk membatalkan permohonan rayuan tuntutan Batu Puteh.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menzahirkan kekecewaan terhadap Kerajaan Persekutuan ekoran dari fasiliti dan bangunan Persekutuan yang terdapat di negeri itu antaranya Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sultan Iskandar yang tidak diselenggara dengan baik.
Sultan Ibrahim bertitah, tindakan itu seolah-olah Putrajaya menganaktirikan Johor walhal negeri itu adalah antara penyumbang utama ekonomi negara.
Menerusi satu kenyatan yang dikeluarkan Royal Johor, baginda turut merasakan kemudahan Pusat Transformasi Bandar (UTC) juga perlu ditingkatkan dengan sistem penyampaian lebih cekap serta keadaan yang selesa.
“Saya rasa seolah-olah Johor ini dianaktirikan, walhal Johor adalah antara penyumbang utama ekonomi negara.
“Saya menyeru kerajaan Persekutuan segera tunaikan janji untuk menaiktaraf Lebuh Raya Utara Selatan kepada enam lorong dan Lebuh Raya Senai-Desaru menjadi empat lorong sepenuhnya.
“Lihatlah juga keadaan jalan-jalan Persekutuan yang rosak dan berlubang, contohnya jalan Johor Bahru-Mersing yang membahayakan pengguna jalan raya,” titah Baginda.
Baginda turut merasakan Johor berkemungkinan lebih maju jika berdiri di atas kaki sendiri.
“Mungkin Johor akan lebih maju jika berdiri di atas kaki sendiri. Jangan sampai rakyat Johor mendesak untuk keluar dari Malaysia,” tegas Baginda lagi.
Kecewa dengan keputusan kerajaan batalkan permohonan rayuan tuntutan Batu Puteh
Sultan Ibrahim turut menzahirkan kekecewaan dengan keputusan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2018 untuk membatalkan permohonan rayuan tuntutan Batu Puteh.
“Semua pihak mesti ingat tentang kuasa-kuasa negeri yang termaktub di dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan 1957. Jangan buat keputusan sesuka hati.
“Perdana Menteri ketika itu telah membuat keputusan sendiri, setelah dia mengarahkan Peguam Negara cuti berehat dan ketika kabinet belum lagi dibentuk. Kerajaan Johor juga langsung tidak dirujuk, sedangkan keputusan itu melibatkan tanah dan kedaulatan Negeri Johor,” titah Baginda lagi.