fbpx
Now Reading
Cacar Monyet : Rakyat Malaysia Disahkan Positif, Jadi Kes Jangkitan Tempatan Pertama Di Singapura

Cacar Monyet : Rakyat Malaysia Disahkan Positif, Jadi Kes Jangkitan Tempatan Pertama Di Singapura

Lelaki berusia 45 tahun itu dilaporkan dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di wad NCID di Singapura

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura dalam satu kenyataan semalam (6 Julai) telah mengesahkan kes pertama jangkitan tempatan cacar monyet di negara itu.

Mangsa adalah lelaki warganegara Malaysia berusia 45 tahun yang bermastautin di Singapura dan disahkan positif.

Bagaimanapun, beliau dilaporkan dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di wad Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID) di Singapura, kata MOH.

Tiada kaitan dengan kes cacar monyet import di Singapura

Menurut MOH, mangsa tidak mempunyai kaitan dengan kes cacar monyet import yang pernah diumumkan oleh Singapura pada 21 Jun lalu.

“Mangsa menyedari kesan luka pada kulit di kawasan perutnya pada 30 Jun lalu dan seterusnya mengalami keletihan dan bengkak kelenjar limfa pada 2 Julai lalu. Ini diikuti demam dan sakit tekak pada 4 Julai lalu, mendorongnya mendapatkan rawatan, di mana ujian seterusnya mengesahkan jangkitan cacar monyet.”

Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura

Setakat semalam, MOH telah mengenal pasti kontak rapat mangsa termasuk dua rakan serumah dan seorang kontak sosial, kesemua mereka dikuarantin selama 21 hari bermula dari hari terakhir mereka bertemu mangsa.

MOH masih mengesan kontak rapat mangsa

MOH yang masih terus mengesan kontak rapat mangsa turut menjelaskan bahawa cacar monyet yang dijangkiti selalunya sembuh dalam tempoh dua hingga empat minggu dengan hanya sejumlah kecil yang mengalami kesan serius atau maut.

Terdahulu, Malaysia pernah dikejutkan dengan khabar angin yang mendakwa seorang kanak-kanak tempatan dijangkitan virus cacar monyet.

Namun ia disangkal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia apabila hasil saringan mendapati kanak-kanak itu sebenarnya dijangkiti penyakit kaki, tangan, dan mulut (HFMD).

Baca artikel berkaitan:

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.