Ibu bapa warga Malaysia yang ke Bangkok untuk mencari anak lelakinya yang hilang tidak dapat menahan kesedihan apabila mengetahui anaknya sudah meninggal dunia.
Menurut laporan Bernama, anak pasangan suami isteri itu meninggal dunia sejak 11 Mei lalu di Hospital Mae Sot berhampiran sempadan Thailand-Myanmar.
Lebih memilukan apabila Goi Chee Kong, 50 dan isterinya yang berusia 45 tahun dari Ipoh, Perak mendapat tahu yang anak sulungnya Zhan Feng, 23 menjadi mangsa sindiket penipuan kerja.
Anak pasangan terbabit dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang dan diseludup ke Myawaddy, Myanmar serta dipaksa bekerja untuk sindiket itu.
Pasangan suami isteri itu bertolak ke Bangkok pada 30 Ogos lalu dan dijadualkan ke Mae Sot pada hari berikutnya untuk bertemu anaknya.
“Kami diberitahu anak kami sakit dan menerima rawatan di hospital. Jadi, saya dan isteri datang ke Bangkok untuk bawa dia pulang ke Malaysia bagi dapatkan rawatan.
“Bagaimanapun, kami diberitahu dia meninggal dunia pada 2 pagi 11 Mei. Doktor percaya anak saya didera sebelum ditinggalkan di hospital pada 11 April,” katanya.
Menurutnya, anaknya digunakan nama dan nombor pasport palsu ketika dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan.
Chee Kong berkata, berikutan itu pihak hospital tidak dapat menghubungi kedutaan dan keluarga untuk memaklumkan mengenai keadaan kesihatan dan rawatan anaknya.
“Disebabkan tidak mendapat rawatan lanjut, sebulan kemudian dia meninggal dunia. Jasadnya dikebumikan di tanah perkuburan di Si Racha di wilayah Chonburi,” katanya lagi.
Chee Kong dan isterinya yang berharap dapat membawa pulang abu anak mereka bagaimanapun perlu membayar tunggakan bil hospital kira-kira RM40,000.
Tunggakan bil itu perlu dijelaskan sebelum boleh mendapatkan sijil kematian untuk menjalankan ujian DNA dan pembakaran mayat.
Bantuan dari Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum, Sim Chon Sing yang menjalankan kempen mengumpul dana yang dilancarkan pada Jumaat lalu di laman Facebook miliknya telah berjaya mengumpul sejumlah RM50,000.
Jumlah wang terkumpul itu akan digunakan untuk membayar bil dan yuran pembakaran mayat serta membawa pulang Abu ke Ipoh, Perak.
Menurutnya, urusan pembayaran bil hospital akan dibuat pada Isnin bagi mendapatkan sijil kematian serta kebenaran untuk menggali kubur.
“Kami berharap dapat bawa pulang abu ke Malaysia pada Khamis. Kami harap semuanya akan berjalan lancar,” ujar Sim.
Terdahulu, Zhan Feng berlepas ke Bangkok untuk bercuti pada 19 Januari lalu dan bagi bertemu rakan yang dikenalinya di media sosial.
Mangsa yang sepatutnya pulang ke tanah air pada 5 Mei untuk menyambut ulang tahun kelahiran ibunya bagaimanapun tidak tiba menyebabkan bapanya membuat laporan orang hilang pada 7 Feb.
Pada 31 Mac, pelajar itu menghubungi keluarganya dan memberitahu dia berada di Mae Sot di Wilayah Tak, serta memerlukan RM80,000 untuk rawatan perubatan.
“Kami percaya sesuatu berlaku pada dia. Kami yakin dia sedang diperhatikan dan diancam. Dia minta maaf kerana tak dapat balik ke rumah. Dia janji akan balik semula setahun kemudian, sejak itu kami tidak dengar apa-apa berita daripadanya,” kata Chee Kong.
Chee Kong percaya bahawa anaknya telah menjadi mangsa sindiket penipuan kerja dan menasihati agar pencari kerja tidak terpedaya dengan tawaran pekerjaan dengan upah yang lumayan dari luar negara.
“Kami terima apa yang berlaku. Saya harap apa yang menimpa anak saya menjadi pengajaran kepada semua pencari kerja. Saya harap perkara yang sama tidak akan berulang,” katanya lagi.
Dua platform AI yang diperkenalkan ini, Raida.AI dan AIFA.AI, menunjukkan tekad Amanie Academy terhadap inovasi…
Seorang mutawif telah membantu perjalanan jemaah umrah buta di Masjidil Haram untuk menuju ke Kaabah.
Jelas MB Johor itu lagi, Agong juga telah bertitah bahawa baginda tidak akan membenarkan mana-mana…
Menurut kebanyakan komen, lelaki Kelantan dilihat lebih kacak kerana kebanyakan mereka mempunyai kacukan darah Melayu-Siam.
Menerusi video berkenaan, kelihatan warga emas itu sangat teruja sebaik melihat rumahnya kembali cantik dan…
Menerusi video turut kelihatan kereta berwarna putih berkenaan meluru laju melanggar kenderaan berwarna hitam sebaik…