Kapal Kargo Malaysia Hilang Di Perairan Indonesia, 5 Kru Kapal Sudah Dapat Dikenal Pasti
Kapal kargo yang membawa muatan 527 besi paip dengan anggaran nilai sebanyak RM726,000 itu dilaporkan hilang sejak 1 Januari lalu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak beberapa hari lalu, negara dikejutkan dengan kehilangan sebuah kapal kargo dari Malaysia yang membawa muatan besi di perairan Indonesia.
Sehingga hari ini, kehilangan kapal kargo, MV Dai Cat 06 itu terus menjadi misteri setelah tiada sebarang petunjuk yang ditemui.
Identiti 5 kru kapal sudah dikenal pasti
Bagaimanapun, Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, lima kru kapal yang terdiri daripada dua warganegara Indonesia dan tiga warga tempatan telah dapat dikenal pasti.
Kelima-lima kru ialah Adi, 43 sebagai Master (Indonesia), Damai Papane Ole, 57, (ketua jurutera) serta tiga rakyat Malaysia iaitu Mohamad Syafarizan Mohd Noor, 24, (ketua pegawai), Mohammad Sudeh Sudin, 20, (kelasi) dan Derrent Littor, 22, (kelasi).
Menurutnya, pihak Maritim akan terus bekerjasama dengan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Indonesia setelah kapal itu kali terakhir di kesan di perairan Republik itu.
Kapal kargo dengan muatan 527 besi paip kali terakhir dikesan di perairan Indonesia
Kata Nurul Hizam, Basarnas akan mengkoordinasikan pencarian kapal tersebut yang membawa muatan 527 besi paip dengan anggaran nilai sebanyak RM726,000 selepas ia dikesan di Indonesia pada kedudukan 30 batu nautika barat laut Pemangkat.
“Berdasarkan maklumat terakhir itu diterima pada 11 malam semalam (12 Januari), Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru daripada Maritime Rescue Control Centre (MRCC) Putrajaya dimaklumkan, Basarnas Republik Indonesia akan mengkoordinasikan pencarian kapal kargo itu.
“Ini berdasarkan maklumat berkemungkinan kapal berada dalam perairan Indonesia. Sehingga kini tiada maklumat terkini penemuan kapal berkenaan. Kami masih menunggu maklumat dari pihak MRCC dan Basarnas,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam (12 Januari).
Dilaporkan hilang pada 1 Januari, sepatutnya tiba di Sarawak pada 31 Disember 2022
Terdahulu, sebuah kapal kargo dilaporkan hilang pada 1 Januari lalu ketika kapal tersebut dalam perjalanan dari jeti Kampung Acheh, Perak menuju ke Kuching, Sarawak.
Kehilangan kapal itu hanya diketahui selepas ejen kapal membuat laporan polis pada Isnin lalu yang mendakwa MV Dai Cat 06 keluar dari jeti Perak pada 23 Disember 2022 dan sepatutnya tiba di Sarawak pada 31 Disember 2022.
Menerusi sistem Automatic Identification System (AIS), lokasi terakhir kapal terbabit dikesan adalah pada 1 Januari lalu di perairan Indonesia iaitu 0.2 batu nautika dari sempadan perairan negeri Johor.