fbpx
Now Reading
Bapa Dedah Remaja Cekik Adik Hingga Maut Rupanya Jadi Mangsa Buli Di Sekolah Sejak Tingkatan 1, Sering Meracau

Bapa Dedah Remaja Cekik Adik Hingga Maut Rupanya Jadi Mangsa Buli Di Sekolah Sejak Tingkatan 1, Sering Meracau

Difahamkan, pengetua sekolah terlibat akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung dakwaan berlaku kes buli terhadap suspek.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan satu kejadian seorang remaja lelaki berusia 14 tahun mencekik adik kandungnya yang berumur sebilan tahun sehingga mati.

Kejadian yang disaksikan oleh jiran mereka itu difahamkan berlaku pada tengah hari semalam (5 Julai) di Kampung Bukit Piatu, Melaka.

Difahamkan, suspek terbabit juga pernah melakukan perkara yang sama kepada ibu dan bapanya beberapa kali sebelum ini.

Bapa percaya kejadian berpunca dari masalah trauma kerana dibuli

Terbaharu, bapa kedua beradik itu yang dikenali sebagai Najli Yakob, 42, berkata dia percaya kejadian tersebut berpunca daripada masalah trauma dihadapi anak sulungnya selepas menjadi mangsa buli di sekolah.

Menurutnya, anak lelakinya itu sebelum ini kerap meracau seperti terdapat entiti lain yang mengawalnya dan telah dibawa menjalani rawatan kesihatan termasuk kaedah perubatan alternatif dan perubatan Islam.

Suspek pernah beritahu bapa sering dibuli di sekolah

Kata Najli, sebelum ini anaknya itu memberitahu sering dibuli di sekolah sejak tahun lalu dan kejadian berkenaan pernah dilaporkan kepada pihak sekolah selain laporan polis juga dibuat.

“Pernah saya ambil dia dari sekolah, beberapa jam di rumah dia seperti naik gila apabila tiba-tiba melaungkan zikir dengan kuat berulang kali dalam keadaan mata terbeliak.

“Kemudian dia terkam dan cekik saya, memang umurnya 14 tahun tetapi tenaga seperti orang dewasa, isteri saya pun pernah dicekik di dapur dan memang susah untuk lepaskan, mujur adik-adiknya datang membantu.

“Kita ni orang tua, kalau dicekik masih boleh melawan tetapi budak memang susah, saya tengok rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memang adiknya, Muhammad Haziq Damiri Najli tidak boleh melawan, kejadian berlaku dalam tiga minit,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Suspek pernah dicekik semasa tidur, disimbah air, dipukul dan ditendang oleh pelajar senior

Menurutnya lagi, anaknya itu mendakwa pernah dicekik ketika tidur, disimbah air, dipukul dan ditendang menggunakan kasut but oleh dua orang senior sekolah berkenaan sejak di tingkatan satu.

Jelasnya lagi, bagaimanapun sejak hujung bulan lalu suspek menunjukkan perkembangan positif selepas mengikuti sesi rawatan yang berterusan.

“Bagaimanapun tiada tindakan sewajarnya diambil terhadap dua orang pelajar yang membuli dan sejak sikap anak saya berubah, saya biarkan dia belajar di rumah buat sementara waktu,” katanya lagi.

Keterangan pengetua sekolah akan diambil

Dalam pada itu, pengetua sekolah terlibat akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung dakwaan berlaku kes buli terhadap suspek.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmah Mariman berkata, segala maklumat berhubung kejadian itu sedang dikumpul oleh pelbagai agensi.

Berkata lanjut, tindakan remaja berkenaan bagaimanapun tidak boleh dikaitkan secara terus berpunca daripada kes buli di sekolah kerana siasatan terperinci harus dilakukan untuk membuktikan perkara tersebut.

Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang meninggal dunia selepas dipercayai dicekik oleh abang kandungnya yang berumur 14 tahun di Kampung Bukit Piatu, Melaka.

Suspek telah ditahan polis untuk siasatan pada Rabu

Ketua Polis Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya telah bertindak menahan remaja berkenaan semalam (5 Julai) untuk siasatan lanjut.

Kata Christopher, siasatan awal polis mendapati suspek yang juga seorang pelajar sekolah Arab itu tidak mempunyai sebarang rekod disiplin.

BACA ARTIKEL BERKAITAN:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.