Remaja Cekik Adik Umur 9 Tahun Hingga Meninggal Dunia Diberkas Polis
Suspek akan dibawa ke Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh, Melaka pada jam 10 pagi hari ini (6 Julai) untuk tahanan reman.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Semalam rakyat Malaysia digemparkan dengan laporan kejadian seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang meninggal dunia selepas dipercayai dicekik oleh abang kandungnya yang berumur 14 tahun di Kampung Bukit Piatu, Melaka.
Dakwaan itu dimaklumkan oleh seorang wanita yang merupakan jiran serta saksi kejadian.
Kata wanita berusia 31 tahun itu, insiden berkenaan telah disedari oleh ibu kepada dua beradik menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang diakses menggunakan telefon bimbit sekitar jam 12 tengah hari semalam (5 Julai).
““Saya tak sangka kejadian berlaku depan mata kerana abangnya sebelum ini memang budak baik. Cuma baru-baru ini dia mengalami trauma kerana mendakwa menjadi mangsa buli di sekolah dan pernah meracau, namun dikatakan telah sembuh selepas dibawa berubat,” jelasnya dipetik Utusan Malaysia.
Mangsa sepatutnya ke sekolah namun tidak sihat
Menurut wanita itu, ketika insiden berlaku hanya dua beradik tersebut yang berada di dalam kediaman mereka, ibu bapa pula sedang bekerja sebelum memaklumkan mangsa sepatutnya ke sekolah pada waktu kejadian.
Namun mangsa tidak dapat hadir ke sekolah selepas berasa tidak sihat.
“Ibu mereka yang ketika itu sedang bekerja telah menghubungi saya meminta bantuan memeriksa keadaan, kerana dia melihat si abang sedang mencekik mangsa melalui aplikasi CCTV.
“Sebaik sahaja saya masuk ke dalam rumah, saya menjerit bila nampak si abang sedang mencekik leher adiknya yang telah pucat dan dipercayai tidak bernyawa,” katanya.
Jelas jiran mangsa, remaja berkenaan bertindak sebegitu kerana tidak dapat mengawal dirinya yang berkemungkinan kerana dirasuk.
Polis tahan remaja dipercayai cekik adik
Susulan daripada kejadian itu pihak polis telah bertindak menahan remaja tersebut, semalam (5 Julai).
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata tangkapan itu dilakukan untuk membantu siasatan yang dilakukan oleh pihak polis.
Dijumpai terbaring dengan kesan cedera di beberapa bahagian
Katanya ketika ditemui mangsa berada dalam keadaan terbaring di ruang tamu dengan kesan kecederaan di bahagian muka, hidung serta leher.
“Hasil pemeriksaan juga mendapati suspek merupakan anak sulung kepada empat orang adik-beradik.
“Suspek merupakan seorang pelajar sekolah Arab yang tidak mempunyai sebarang rekod disiplin.
“Justeru itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi mengetahui motif kejadian dan siasatan lanjut,” jelasnya.
Dijangka akan direman pagi ini
Pihak polis turut akan memohon reman terhadap remaja berkenaan dan dijangka dibawa ke Kompleks Mahkamah Melaka di Ayer Keroh, pada jam 10 pagi, hari ini (6 Julai).
Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar kerana dikhuatiri akan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.