fbpx

Gara-Gara Nak Tuntut Insurans, Suami Sanggup Bersubahat Untuk Rompak Isteri

Suami mangsa dipercayai menjadi dalang bagi kes rompakan berkenaan kerana ingin menuntut insurans.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Hanya kerana ingin melakukan tuntutan insurans, seorang suami sanggup bersubahat dengan tiga orang perompak untuk merompak isterinya serta memecah masuk kediaman mereka di Taman Hijau, Karak, Bentong pada 17 Julai lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar, aduan berhubung kejadian itu diterima pihaknya sekitar jam 3.20 petang pada hari yang sama.

Isteri suspek didatangi tiga orang penyamun, siap pakai topeng dan bawa parang

Jelasnya, ketika kejadian berlaku sekitar jam 3.05 petang mangsa yang juga isteri kepada suspek telah didatangi oleh tiga lelaki yang tidak dikenali dengan memakai topeng serta bersenjata tajam iaitu parang.

Suspek kemudian telah bertindak mengeledah rumah mangsa yang berusia 42 tahun sebelum bertindak melarikan diri menggunakan kereta jenama Perodua Alza berwarna putih yang diletakkan di hadapan rumah.

Penyamun turut bawa lari barang kemas mangsa, alami kerugian RM16,000

Kesemua penyamun berkenaan turut membawa lari barang kemas milik mangsa dan dia dianggarkan mengalami kerugian sekitar RM16,000.

“Hasil siasatan awal pihak polis mangsa merupakan surirumah dan berada keseorangan di rumah disebabkan suami, ibu serta anaknya telah keluar pergi ke rumah saudaranya.

“Suami mangsa menjalankan kerja-kerja amal di sebuah kuil di kawasan Karak, Bentong, Pahang,” katanya.

Ujarnya lagi, bertindak atas maklumat sepasukan pegawai serta anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Bentong dan IPD Nilai telah bertindak menahan dua orang lelaki berusia 33 tahun serta seorang warga asing berumur 24 tahun pada jam 9.30 malam, hari yang sama di Nilai, Negeri Sembilan.

Suami dipercayai jadi dalang utama rompakan

Katanya, dalam penahanan tersebut pihaknya turut merampas kenderaan yang digunakan oleh penyamun berkenaan dan hasil semakan kedua-dua suspek warga tempatan itu mempunyai rekod jenayah lampau berhubung kes rompak.

“Hasil soal siasat pihak polis ke atas suspek yang ditahan mendapati suami mangsa yang berusia 47 tahun dipercayai menjadi dalang utama dalam kes rompakan ini semata-mata bagi tuntutan insurans.

“Suami mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan. Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 24 Julai manakala suami mangsa direman selama lima hari sehingga 22 Julai,” jelasnya.

Jika salah boleh dihukum 20 tahun penjara

Kes disiasat mengikut seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompak berkumpulan dengan menggunakan senjata.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat.

Pihak polis dalam masa sama turut memberi amaran bahawa mereka tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak selain tindakan undang-undang akan diambil khususnya kes jenayah yang sengaja dirancang untuk tujuan tertentu.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.