fbpx
Now Reading
Tular Video Titah Sultan Nazrin Diolah Demi Kepentingan Politik, Pihak Istana Buat Laporan Polis

Tular Video Titah Sultan Nazrin Diolah Demi Kepentingan Politik, Pihak Istana Buat Laporan Polis

Menurut Orang Kaya Bendahari Seri Maharaja, di dalam wacana itu baginda tidak hanya menzahirkan kata-kata positif terhadap PAS, tetapi secara seimbang turut menyatakan kupasan yang sama terhadap UMNO.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Dewan Negara Perak menyifatkan tindakan menularkan video titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah yang disunting untuk tujuan politik sesebuah parti adalah sebagai mencemar institusi diraja.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Datuk Seri DiRaja Tan Sri Dr. Mohd Zahidi Haji Zainuddin berkata, video berkenaan hanya mengambil sebahagian kecil titah baginda yang ketika itu sebagai Pemangku Raja Perak pada 19 Februari 2013 di Majlis Wacana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Kaitkan dan heret kedudukan raja pemerintah untuk tujuan politik kepartian

Menurutnya, suntingan video tersebut secara tidak langsung atau langsung telah mengaitkan dan mengheret kedudukan seorang raja pemerintah untuk tujuan politik kepartian.

“Melalui kenyataan media ini, ditegaskan bahawa Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tidak sama sekali memihak dan jauh sekali daripada memberikan sokongan secara terbuka kepada mana-mana kumpulan politik.

“Perbuatan menularkan video yang berkaitan sangat tidak beretika dan perbuatan seperti ini disifatkan tidak bersopan kepada seorang raja pemerintah dan telah mencemarkan nama baik takhta. Oleh itu penularan video yang berkaitan wajib dihentikan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini (31 Julai).

Jelas Zahidi, di dalam wacana tersebut baginda menzahirkan analisis melibatkan parti UMNO dan PAS yang merupakan dua kuasa politik Melayu yang dominan pada ketika itu.

Baginda zahirkan kata-kata positif terhadap PAS dan UMNO secara seimbang

Menurutnya lagi, baginda tidak hanya menzahirkan kata-kata positif terhadap PAS, tetapi secara seimbang turut menyatakan kupasan yang sama terhadap UMNO.

Selain itu, beliau juga memaklumkan Sultan Nazrin turut menzahirkan peringatan kepada PAS dan UMNO agar keghairahan mendapatkan sokongan politik dan kuasa tidak sampai memecehbelahkan bangsa serta memusnahkan negara.

“Titah baginda mengandungi 7,500 patah perkataan dan mengambil masa 90 minit semasa dizahirkan. Bahagian yang memuji Parti PAS hanyalah petikan pendek bagitu juga pujian terhadap UMNO.

“Adalah dipercayai ada pihak yang memilih memetik titah Sultan Nazrin Shah pada tahun 2013 untuk ditularkan semula dengan tujuan mahu mempengaruhi pengundi agar menyokong parti Pas dalam suasana menjelang pilihan raya di enam negeri pada 12 Ogos depan.

“Demi melindungi nama baik Sultan Perak daripada diheret dan dicemari oleh mana-mana pihak untuk meraih laba politik, Pejabat Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak telah membuat laporan polis pada 29 Julai 2023,” katanya lagi.

Ketua Polis Negara sahkan telah menerima laporan

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan telah menerima laporan pada jam 6.30 petang kelmarin (29 Julai) dan memaklumkan kes masih dalam siasatan.

Semakan mendapati, wanita yang cuba mengetengahkan pandangan Sultan Nazrin terhadap PAS dalam klip video berkenaan ialah seorang pemimpin Muslimat PAS Melaka, lapor Sinar Harian.

Wanita tersebut mengambil petikan video yang sebelum ini pernah dimuat naik di Facebook Dewan Muslimat PAS Melaka pada 11 November 2022.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.