Baru-baru ini tular di media sosial video memaparkan kejadian kemalangan yang hampir meragut nyawa seorang jururawat di Jalan Bahau-Batu Kikir, Negeri Sembilan pada 4 September.
Menerusi video tersebut, awalnya kelihatan kenderaan jenis Honda City yang dipandunya sedang menyusuri sebatang jalan lama.
Tayar lori bahagian belakang tiba-tiba tercabut hentam kereta Honda City
Namun sewaktu kenderaan itu lalu di sebelah lori tangki yang berada di arah bertentangan secara tiba-tiba kelihatan tayar di bahagian belakang lori tercabut dan terpelanting ke arah kenderaan wanita berkenaan.
Turut dapat dilihat tayar itu menghentam dengan kuat sehingga menyebabkan bahagian depan kereta Honda City itu pecah dan remuk hingga bertaburan di jalan raya.
Pemandu Honda sempat brek kereta daripada terbabas
Kenderaan itu bagaimanapun sempat membrek dan mengawal keretanya daripada terbabas ke bahu jalan.
Tidak lama selepas itu mangsa yang turut memakai baju jururawat keluar dari kenderaan dalam keadaan terbongkok-bongkok.
Video kemalangan itu kemudian tular di media sosial hingga menjadi perhatian orang ramai.
Tiada sebarang kecederaan, pemandu lori kena saman
Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook kedua-dua kenderaan yang terbabit dalam insiden terbabit telah tampil ke balai polis membuat laporan.
“Kejadian itu tidak melibatkan kecederaan dan pemandu lori telah disaman di bawah Peraturan 94 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana komponen kenderaan tercabut,” ujarnya dipetik Sinar Harian.