fbpx
Now Reading
Polis Buru Individu Hempas Batu Pada Kucing Jalanan

Polis Buru Individu Hempas Batu Pada Kucing Jalanan

Menerusi video, kelihatan individu berkenaan telah bertindak menghempas satu objek keras pada kepala kucing berkenaan sebelum beredar dari kawasan tersebut.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Haiwan adalah antara makhluk yang perlu untuk disayangi khususnya jika ia adalah binatang yang tidak membahayakan seperti kucing.

Perbuatan menyeksa atau menganaiya haiwan bukan sahaja berdosa malah turut salah disisi undang-undang dan boleh dikenakan hukuman untuk menjadi pengajaran kepada individu lain agar tidak melakukan perkara yang tidak bertanggungjawab seperti itu.

Namun meskipun sudah banyak kes yang dilaporkan masih lagi terdapat segelintir pihak yang bertindak untuk menyiksa haiwan.

Tular video individu bertindak anaiya kucing liar

Baru-baru ini, tular satu video di media sosial memaparkan seorang individu telah bertindak menganaiya seekor kucing liar yang berada di jalanan.

Menerusi video yang dimuat naik oleh Mynewshub di Twitter, kelihatan individu berkenaan telah datang menghampiri kucing berkenaan sebelum bertindak menghempas objek keras dipercayai batu pada kepalanya.

Sebaik menghempas objek tersebut individu berkenaan kemudian berlalu pergi dan kelihatan kucing berkenaan mengelupur menahan kesakitan.

Memetik laporan Kosmo, tindakan kejam lelaki berkenaan menyebabkan haiwan itu mati.

Orang awam jumpa kucing dalam keadaan mulut berlumuran darah

Susulan daripada kejadian itu, polis kini sedang mengesan individu yang terbabit dalam rakaman tersebut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Syed Basri Syed Ali memaklumkan pihaknya telah menerima laporan dari orang awam yang melihat mulut haiwan berkenaan telah berlumurah darah kerana dianaiya individu tak dikenali pada 11.30 malam, 28 September.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman jika disabitkan kesalahan ialah denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya.

“Kes masih dalam siasatan dan usaha sedang dibuat untuk mengesan suspek,” jelasnya.

Beliau dalam masa sama turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi serta berhati-hati dalam menggunakan media sosial agar ia tidak mendatangkan kegusaran kepada masyarakat.

Polis turut menyeru bagi individu yang mempunyai maklumat berhubung kes untuk hubungi terus dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Khairolamin Khalid di talian 019 258 5884.

Baca artikel berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.